Kerajaan Persekutuan sedang memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap risiko gempa bumi, susulan beberapa gegaran kecil yang dikesan di Johor pada Ogos.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dalam jawapan di Dewan Rakyat pada 25 November berkata berdasarkan kajian menyeluruh yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), keseluruhan 11 zon sesar aktif telah dikenal pasti di seluruh negara.
“Enam daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia termasuk Sesar Bukit Tinggi di Pahang, Sesar Bokbak di Kedah-Perak, Sesar Terengganu, Sesar Banding di Perak, Sesar Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta Sesar Mersing di Johor, sementara selebihnya di Sarawak dan Sabah.
“JMG telah menjalankan pemetaan sesar aktif sejak 2016 hingga 2020, dan sehingga kini enam stesen Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) aktif dipasang di Sabah, manakala 47 stesen pasif PAG beroperasi di enam negeri lain.
“Kerajaan bercadang memperluas pemasangan ini ke kawasan yang berisiko termasuk Johor,” katanya.
Datuk Johari menambah, Peta Bahaya Seismik dan kajian geotektonik JMG kini digunakan sebagai rujukan penting oleh pihak berkuasa tempatan serta jurutera dalam merancang pembangunan.
Beliau menyarankan supaya reka bentuk bangunan baru, khususnya di kawasan berhampiran zon sesar, mematuhi standard, Malaysia National Annex, kepada Eurocode 8 bagi memastikan ketahanan struktur terhadap gegaran.
“Maklumat ini bukan sahaja penting untuk perancangan bandar, bahkan juga untuk memastikan pembinaan masa depan lebih selamat dan mampu bertahan daripada impak gempa bumi,” ujarnya.
Dalam aspek amaran awal, Datuk Johari menjelaskan bahawa kejadian gempa bumi tidak boleh diramalkan, namun gegaran yang berpotensi mencetus tsunami boleh dikesan sejurus selepas berlakunya gempa di dasar laut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) ketika ini mengendalikan rangkaian 80 stesen seismik dalam negara, disokong 323 stesen antarabangsa.
“METMalaysia mengeluarkan maklumat gempa dan amaran tsunami dalam tempoh lapan minit selepas pengesanan bagi gegaran melebihi magnitud 3.0.
“Sistem ini sedang dinaik taraf agar maklumat dapat dikeluarkan seawal enam minit menjelang 2026,” katanya.
Di bawah RM Ke-13, METMalaysia turut menaik taraf instrumentasi pemantauan di 12 stesen seismik bagi meningkatkan ketepatan dan kecekapan pengesanan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (AP) Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS–Sri Aman), yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan mengukuhkan kesiapsiagaan selepas beberapa gempa bumi kecil dikesan di Johor.
Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, 27 Ogos (3.2); 7.56 malam, 28 Ogos (2.5); 4.24 pagi, 29 Ogos (3.4) dan 7.29 pagi 30 Ogos (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.
Dua gegaran turut direkodkan di Semerah dan Sri Medan, Batu Pahat, pada 31 Ogos dengan magnitud 3.0 dan 3 September dengan magnitud 2.9.
Kejadian terkini berlaku pada 3 November, dengan satu gegaran lemah berukuran magnitud 2.7 dilaporkan berlaku di daerah Segamat pada 7.55 malam.
Walaupun gegaran itu berskala kecil, Kerajaan Johor menegaskan kejadian itu wajar ditangani secara serius kerana menimbulkan keresahan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg