Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia kemas kini peta bahaya seismik, tambah stesen pantau gempa

Nov 14, 2025 | 12:23 PM
Pemangku tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pemangku tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - Foto FACEBOOK JOHARI ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan mengemukakan kertas cadangan bagi memperkasa Peta Bahaya Seismik Malaysia pada awal 2026, susulan keperluan mengemas kini maklumat risiko gempa bumi berdasarkan data dan perkembangan geologi terkini.

Pemangku tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sebelum ini menerbitkan peta berkenaan pada 2017, namun usia lebih tujuh tahun menuntut penelitian semula agar standard kejuruteraan dan perancangan pembangunan negara kekal sejajar dengan maklumat risiko semasa.

Beliau berkata peta berkenaan dibangunkan berasaskan rekod gempa bumi sehingga 2017 serta mengambil kira kewujudan sesar aktif tempatan di Sabah, Sarawak, Pahang, Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak.

“Walaupun peta itu masih relevan, ia perlu dikemaskini secara berkala selaras dengan keperluan teknikal dan keselamatan.

“Pengemaskinian yang dicadangkan meliputi kajian pemetaan sesar aktif serta pemasangan stesen penanda aras baru bagi mengukur pergerakan sesar, dan akan diperluas ke negeri yang dikenal pasti mempunyai kawasan sesar atau terdedah kepada risiko gempa bumi,” katanya.

Datuk Johari berkata peta bahaya seismik tersebut kini menjadi rujukan utama dalam penyediaan piawaian Malaysia National Annex to Eurocode 8 yang digunakan bagi tujuan reka bentuk struktur bangunan tahan gempa.

Dalam aspek pemantauan, beliau menjelaskan bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) kini mengoperasikan 80 stesen seismik di seluruh negara, dengan data dihantar secara masa nyata melalui rangkaian komunikasi satelit.

“Malaysia turut menerima input daripada 323 stesen seismik antarabangsa bagi memperkukuh analisis saintifik,” katanya.

Melalui Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 di bawah RMKe-13, usaha pengukuhan rangkaian ini melibatkan peningkatan keupayaan 12 stesen seismik, pembinaan dua stesen baru di Segamat dan Muar, serta menaik taraf empat stesen sedia ada di Johor bagi meningkatkan keupayaan mengesan gempa bumi tempatan bermagnitud lemah.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen pada 13 November. Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (AP) Encik Muhammad Islahuddin Abas (Bersatu-Mersing).

Encik Muhammad Islahuddin meminta penjelasan mengenai tahap pengemaskinian peta bahaya seismik negara susulan kejadian gempa bumi di Segamat, serta keberkesanan kod bangunan Malaysia terhadap risiko seismik sederhana dan usaha memperkukuh rangkaian stesen seismik untuk pemantauan saintifik serta amaran awal.

Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, 27 Ogos (3.2); 7.56 malam, 28 Ogos (2.5); 4.24 pagi, 29 Ogos (3.4) dan 7.29 pagi 30 Ogos (2.7).

Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.

Dua gegaran turut direkodkan di Semerah dan Sri Medan, Batu Pahat, pada 31 Ogos dengan magnitud 3.0 dan 3 September dengan magnitud 2.9.

Kejadian terbaru berlaku pada 3 November, dengan satu gegaran lemah berukuran magnitud 2.7 dilaporkan berlaku di daerah Segamat pada 7.55 malam.

Walaupun gegaran itu berskala kecil, kerajaan negeri menegaskan kejadian itu wajar ditangani secara serius kerana menimbulkan keresahan masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg