Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perkukuh prasarana luar bandar

Lebih 1,000 projek siap dalam tiga tahun
Nov 20, 2025 | 12:37 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

Kerajaan Johor menegaskan komitmennya untuk memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasa, dengan pelaksanaan lebih 1,000 projek prasarana asas di kampung-kampung seluruh negeri sejak 2023, merangkumi penaiktarafan jalan desa, kemudahan sosial dan pemasangan lampu jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, memaklumkan bahawa tumpuan terhadap pembangunan desa kekal menjadi agenda penting di bawah aspirasi Maju Johor, supaya masyarakat luar bandar tidak tertinggal dalam arus pertumbuhan ekonomi negeri yang pesat.

Tambahnya, tiga komponen utama yang menjadi asas pemerkasaan luar bandar ialah Jalan Perhubungan Desa (JPD), Projek Ameniti Sosial (PAMS) dan Lampu Jalan Kampung (LJK), yang dilaksanakan secara bersepadu antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Bagi tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 377 projek JPD telah dilaksanakan dengan jumlah peruntukan RM78.9 juta ($24.7 juta). Skopnya meliputi pembinaan baru, pelebaran dan naik taraf jalan kampung.

“Pada 2025 sahaja, 164 projek dilaksanakan bernilai RM59.27 juta, peningkatan ketara berbanding 2023 dan 2024 yang mencerminkan keperluan penyelenggaraan jalan desa yang semakin mendesak seiring pertumbuhan penduduk,” katanya ketika berucap dalam Sidang Dewan Negeri pada 20 November.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cik Norlizah Noh (Umno-Johor Lama) dan Adun Encik Tan Eng Meng, (Persatuan Cina Malaysia (MCA)-Pekan Nanas) pada Sidang Dewan Negeri.

Tambahnya, PAMS turut menunjukkan perkembangan besar sebagai usaha menyediakan fasiliti komuniti yang lebih baik.

“Pada 2023, hanya 47 projek dilaksanakan, namun angka itu melonjak kepada 305 projek pada 2024 dan 313 projek pada 2025, menjadikan keseluruhan 665 projek bernilai RM46.31 juta bagi tempoh tiga tahun.

“PAMS merangkumi pembaikan dewan orang ramai, balai raya serta kemudahan asas yang menjadi nadi aktiviti masyarakat,” jelas Datuk Zahari.

Komponen LJK pula direkodkan sebagai antara inisiatif berskala besar, dengan 2,657 lampu dipasang melibatkan peruntukan RM7.46 juta.

“Penyediaan lampu ini memberi impak langsung kepada keselamatan penduduk, terutama di laluan gelap, kawasan sekolah, persimpangan kampung dan lokasi berisiko,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Johor menegaskan bahawa keseluruhan pencapaian ini membuktikan usaha konsisten untuk memastikan pembangunan negeri berlaku secara seimbang dan inklusif, bukan hanya tertumpu di kawasan bandar.

“Pendekatan ini juga selari dengan kedudukan Johor sebagai penerima pelaburan tertinggi negara, di mana manfaat pertumbuhan ekonomi harus turut dirasai masyarakat luar bandar.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkasa agenda pembangunan luar bandar agar kampung-kampung di Johor kekal maju, berdaya saing dan sejahtera,” katanya sambil menekankan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Johor, Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat kampung akan terus dipertingkat.

Usaha itu, jelasnya, bukan sahaja meningkatkan mutu hidup rakyat, malah memastikan pembangunan Johor berlaku secara adil dan menyeluruh bagi seluruh Bangsa Johor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg