Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor perlu jadi ‘makmal hidup’ teknologi bandar pintar
Pelaksanaan bandar pintar perlu sokong JS-SEZ, buka ruang kepada pelabur uji teknologi baru
Johor perlu jadi ‘makmal hidup’ teknologi bandar pintar
Johor perlu dijadikan “makmal hidup” dan tapak ujian bagi pelabur membawa masuk serta menguji teknologi bandar pintar yang boleh menyokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Kelestarian Johor (JSC), Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata kedudukan Johor bersebelahan Singapura serta pelaksanaan JS-SEZ memberikan negeri itu kelebihan besar dalam membangunkan ekosistem bandar pintar.
“Jadikan Johor sebuah makmal hidup dan tapak ujian untuk pelabur membawa masuk serta menguji teknologi.
“Johor perlu mempunyai prasarana, struktur tadbir urus, dasar dan ekosistem bandar pintar yang jelas supaya teknologi tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2026 Edisi Kedua di Toppen Shopping Centre, Ikea Tebrau, di sini.
Datuk Seri Hasni berkata pembangunan bandar pintar di Johor perlu menyokong secara langsung 11 sektor tumpuan JS-SEZ, termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, logistik dan tenaga.
Menurutnya, Johor juga boleh dijadikan tempat menguji teknologi bagi menangani cabaran bekalan tenaga dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan bandar.
Penggunaan kamera keselamatan, alat pengesan dan lampu isyarat pintar berasaskan AI adalah antara teknologi yang boleh diuji sebelum diperluaskan.
“Sekiranya bekalan tenaga tidak mencukupi, kita perlu melihat teknologi yang boleh membantu. Jadikan Johor tapak ujian teknologi untuk memastikan negeri ini lebih kukuh dalam menarik pelaburan.
“Kita mahu pelabur datang ke Johor untuk mencuba dan mengembangkan teknologi mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata pembangunan bandar pintar memerlukan pendekatan melibatkan seluruh masyarakat dan tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata.
Menurutnya, sumber pembiayaan bagi bandar pintar boleh diperluas menerusi kerjasama kerajaan dengan sektor swasta, dana hijau dan pembiayaan swasta.
Johor juga sedang meneliti cadangan penubuhan Tabung Amanah Lestari sebagai sumber pembiayaan khusus bagi agenda kelestarian dan pembangunan bandar pintar.
Cadangan itu masih pada peringkat awal dan perlu mendapat kelulusan Dewan Negeri Johor sebelum boleh dilaksanakan.
“Tabung itu perlu ditubuhkan menerusi Dewan Negeri. Kita sedang bergerak ke arah itu kerana agenda kelestarian perlu diterima dan dijadikan keutamaan negeri bersama agenda pembangunan.
“Perinciannya akan dikemukakan kemudian kerana buat masa ini, ia masih berupa hasrat dan inisiatif,” katanya.
Datuk Mohd Noorazam berkata tabung itu boleh menerima sumbangan kerajaan dan sektor swasta serta hasil daripada insentif, pelepasan atau inisiatif hijau yang dilaksanakan pada peringkat negeri.
Penggunaan dana tersebut perlu dikawal dengan ketat dan dikhususkan kepada program kelestarian, teknologi hijau, bandar pintar serta usaha mengurangkan pelepasan karbon.
“Tabung Amanah Lestari berkaitan masa depan generasi akan datang. Ia adalah pelaburan untuk memastikan penduduk hari ini dan generasi masa hadapan menikmati persekitaran yang lebih baik,” katanya.