Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perlu jenama pelancongan lebih kukuh

May 30, 2025 | 11:36 AM
Seorang pelancong mengambil gambar di kawasan Pulau Rawa di Mersing, Johor.
Seorang pelancong mengambil gambar di kawasan Pulau Rawa di Mersing, Johor. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

ISKANDAR PUTERI (Johor): Usaha lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memperkukuh identiti pelancongan Johor supaya tidak terus dilihat sebagai sekadar “jiran Singapura” dalam kalangan pelancong luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jementah, Cik Ng Kor Sim, berkata negeri ini masih sering dilihat sebagai lokasi persinggahan untuk pelancong dari Singapura yang menuju ke Kuala Lumpur, atau sebaliknya.

“Sehingga kini, kebanyakan pelancong asing masih mengenali Johor sebagai ‘negeri di Malaysia yang paling dekat dengan Singapura’ atau hanya sebagai ‘jiran Singapura’.

“Kita kekurangan identiti pelancongan yang tersendiri dan mudah diingati,” katanya ketika berucap pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

Menurutnya, pelancaran logo rasmi, Visit Johor 2026, yang diadakan pada Januari di hadapan lebih 1,000 delegasi tempatan dan antarabangsa semasa Forum Pelancongan Asean 2025, membuktikan iltizam kerajaan negeri untuk mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan.

Namun begitu, katanya, Johor masih berdepan pelbagai cabaran yang menghalang pertumbuhan dan daya saingnya, khususnya jika dibandingkan dengan negeri jiran seperti Melaka dan negara jiran Singapura yang jauh lebih maju dari segi prasarana pelancongan dan penjenamaan, lapor The Star.

“Walaupun kita memiliki tarikan seperti Gunung Ledang, Desaru Coast dan Taman Negara Endau-Rompin, kekurangan sistem pengangkutan awam yang cekap, kapasiti lapangan terbang yang terhad dan sambungan logistik yang lemah menjadi antara faktor utama yang menjejas potensi kemasukan pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau turut memberi contoh Mersing yang terkenal dengan makanan laut segar dan pulau-pulau cantik tetapi sering mengalami kesesakan lalu lintas, malah masih sukar diakses tanpa pengangkutan persendirian.

Begitu juga dengan lokasi popular seperti Desaru dan Endau-Rompin yang tidak mudah diakses dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai atau lebuh raya Linkedua

Cik Ng turut menyuarakan kebimbangan berkenaan keupayaan terhad Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk menarik lebih banyak penerbangan antarabangsa secara terus, selain lokasinya yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Changi di Singapura.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri menganjurkan program lawatan pengenalan khas kepada pengendali pelancongan antarabangsa, pihak media dan individu berpengaruh dari luar negara.

Menurutnya, lawatan sedemikian merupakan amalan biasa dalam industri pelancongan bagi mempromosi destinasi dan membina jaringan kerjasama jangka panjang.

Cik Ng turut menggesa kerajaan negeri Johor menyediakan insentif kewangan kepada penggiat pelancongan tempatan untuk menyertai pameran pelancongan antarabangsa utama seperti, Internationale Tourismus-Börse (ITB) Berlin, ITB Asia dan World Travel Market di London.

Pendedahan seperti itu, katanya, dapat membantu Johor menembusi pasaran utama seperti Eropah, China dan Timur Tengah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg