Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tempat letak kenderaan awam dimonopoli pekerja M’sia di S’pura, jejas niaga di Skudai

Antara saranan termasuk sediakan zon letak kenderaan selama dua jam, tapak khas bagi pekerja di S’pura dan laluan khusus bagi bas kilang
May 29, 2025 | 11:45 AM
Malaysia, Johor, tempat letak kenderaan awam, Skudai
Gambar kawasan letak kereta di kawasan Jalan Bentara 1, Skudai, yang sudah dipenuhi dengan kenderaan pada awal pagi meskipun premis perniagaan masih belum beroperasi. - Foto DIONG CHUN SHENG.

Fenomena penyalahgunaan ruang letak kenderaan awam oleh pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura semakin membimbangkan dan memberi kesan negatif terhadap perniagaan di sekitar kawasan Skudai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Cik Marina Ibrahim, berkata kawasan seperti Taman Tun Aminah sering disalah anggap sebagai lokasi dengan kegiatan sosioekonomi rancak hanya kerana kesesakan tempat meletak kenderaan.

Namun, hakikatnya kebanyakan kenderaan yang memenuhi ruang letak kenderaan bukan milik pelanggan atau pengunjung premis perniagaan, sebaliknya pekerja yang meninggalkan kereta buat tempoh lama bagi menaiki bas kilang ke Singapura.

“Lihat sahaja di luar masjid dan sepanjang deretan kedai – itu bukan kereta orang ke masjid atau membeli barang, tetapi kereta pekerja yang bekerja di Singapura. Mereka meletak kenderaan seminggu pun sanggup, tak kisah kalau kena saman,” katanya.

Tambahnya, bas kilang akan mengambil pekerja berkenaan di hadapan stesen minyak berhampiran dan sebaik pulang daripada kerja, mereka terus memandu pulang – menyebabkan ruang letak kenderaan awam tidak dapat digunakan masyarakat setempat.

Kesan langsung amalan itu, kata Cik Marina, ialah kejatuhan perniagaan tempatan serta kesesakan teruk di kawasan sekolah akibat kekurangan tempat meletak kenderaan, sekali gus menjejaskan urusan ibu bapa yang ingin menghantar dan mengambil anak.

Bagi menangani isu ini, beliau mencadangkan pelaksanaan Zon Letak Kenderaan Dua Jam di kawasan panas dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), yang mana kenderaan hanya dibenarkan meletak kenderaan maksimum dua jam.

Selepas itu, tempoh bertenang selama satu jam perlu diberikan sebelum kenderaan sama dibenarkan meletak kenderaan semula di lokasi berkenaan.

“Penguatkuasaan mesti tegas. Sekarang ini papan tanda ‘zon tunda’ pun orang tak hormat. Kalau tidak disiplinkan pengguna jalan raya, orang lain yang jadi mangsa,” katanya.

Cik Marina turut menyarankan penyediaan tapak letak kenderaan khas bagi pekerja yang berulang-alik ke Singapura serta laluan khusus bagi bas kilang, untuk mengelakkan kesesakan dan penyalahgunaan ruang awam.

Beliau juga menekankan perlunya peningkatan sistem pengangkutan awam antara kawasan seperti Skudai dan Johor Bahru, terutama dengan pelaksanaan Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap tidak lama lagi.

“Kalau tidak tambah baik sistem pengangkutan awam, apabila RTS siap nanti, kita akan hadapi masalah lebih besar.

“Dalam perancangan projek Autonomous Rail Transit kerajaan negeri, Tun Aminah merupakan salah satu laluan utama – ini boleh menjadi sebahagian huraian jangka panjang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pemilik premis membaiki kenderaan, Encik Diong Chun Sheng, 31 tahun, berkata isu itu telah berlarutan bertahun lamanya namun masih belum ada jalan penyelesaian.

“Perniagaan saya setiap tahun mengalami kerugian kerana pelanggan terpaksa berpusing berulang kali mencari tempat letak kenderaan, dan ada antara mereka yang putus asa dan pergi ke kawasan lain.

“Mereka bekerja selama 12 jam sehari dengan dua syif, jadi selama 24 jam, kawasan letak kenderaan ini akan bersilih ganti dengan pekerja dari Singapura,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg