Johor salur RM125 juta Bantuan Kasih Johor sepanjang Ramadan
Johor salur RM125 juta Bantuan Kasih Johor sepanjang Ramadan
Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM125 juta ($40 juta) untuk Bantuan Kasih Johor (BKJ) bagi 29 kategori penerima sepanjang Ramadan 2026 sebagai usaha memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bantuan ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri supaya tiada rakyat terpinggir menyambut bulan penuh keberkatan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian BKJ bersama warga Simpang Renggam, menekankan pendekatan turun padang penting bagi menjamin bantuan sampai terus, telus dan tepat kepada kumpulan sasar.
“Menerusi majlis ini, lebih 1,000 penerima diraikan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim, pelajar universiti, pesara angkatan tentera dan polis, pemandu teksi, e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) serta p-hailing (penghantar makanan), petani, nelayan dan pekerja sokongan.
“Secara keseluruhan, seramai 9,414 penerima di Simpang Renggam bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Februari.
BKJ, di bawah kerangka Bantuan Bangsa Johor bertujuan membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai ketika ini.
Bantuan itu disalurkan secara berperingkat dan menyeluruh merangkumi semua segmen masyarakat tanpa mengira latar belakang demi memastikan kesejahteraan rakyat kekal diutamakan.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda kebajikan secara strategik dan berimpak agar manfaatnya dapat dirasai di seluruh pelosok negeri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Onn Hafiz merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman, yang menamatkan perkhidmatan selepas hampir tiga dekad.
Beliau mengakui, sepanjang memegang amanah sebagai Menteri Besar, kerjasama erat dengan Datuk Asman Shah banyak membantu memastikan dasar dan agenda penting negeri berjalan tersusun dan berkesan.
Pengalaman Datuk Asman Shah, yang pernah menerajui Majlis Bandaraya Pasir Gudang serta memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pembangunan, memberi sumbangan besar kepada pentadbiran negeri.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa dan khidmat bakti beliau. Saya doakan beliau sentiasa dikurniakan kesihatan dan ketenangan dalam kehidupan bersama keluarga,” akhirinya.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa serta khidmat bakti beliau. Saya doakan beliau sentiasa dikurniakan kesihatan dan ketenangan dalam kehidupan bersama keluarga,” katanya.

