JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor memperluas penggunaan lampu isyarat pintar kepada keseluruhan 46 persimpangan menerusi dua fasa pelaksanaan, dengan fasa kedua dirancang siap pada suku keempat 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata fasa pertama melibatkan 25 persimpangan di lima PBT telah siap sepenuhnya setakat September, manakala fasa kedua membabitkan 21 lagi persimpangan.

Pelaksanaan seterusnya merangkumi tujuh persimpangan di Majlis Perbandaran Kulai, enam di Majlis Bandaraya Pasir Gudang, lima di Majlis Bandaraya Johor Bahru dan tiga di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

“Bagi rakyat, angka-angka ini membawa maksud yang sangat mudah. Kurang masa menunggu di lampu isyarat, barisan kenderaan yang lebih pendek dan perjalanan yang lebih lancar,” katanya dalam kenyataan pada 28 September.

Di Jalan Seelong, masa perjalanan waktu puncak petang berkurang daripada 23 minit kepada 16 minit, manakala waktu pagi daripada 18 minit kepada 14 minit.

Di koridor Skudai–Pontian pula, tempoh perjalanan pagi berkurang daripada 20 minit kepada 15 minit dan petang daripada 22 minit kepada 17 minit.

Sistem itu menggunakan sensor, kamera litar tertutup berasaskan kecerdasan buatan, pemasa dan alat kawalan untuk menyelaraskan tempoh lampu antara persimpangan berdasarkan jumlah kenderaan.

Keadaan trafik turut dipantau secara langsung melalui pusat kawalan PBT, sementara pelarasan automatik membolehkan keutamaan diberikan kepada laluan lebih sibuk.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Mohd Jafni berkata enam kumpulan bantahan diteliti dalam sesi kedua pendengaran Draf Rancangan Tempatan Johor Bahru 2035.

Bantahan melibatkan kawasan Taman Abad, Taman Sentosa, Kampung Plentong Baru, Kampung Tun Sambanthan dan Jalan Persiaran Senibong, termasuk cadangan perubahan guna tanah perumahan kepada komersial serta isu prasarana.

Keseluruhan proses publisiti dan penyertaan awam merekodkan 205 pembantah dan menghasilkan 473 maklum balas bantahan.

Daripada jumlah itu, 250 berkaitan guna tanah, manakala 223 lagi melibatkan perkara lain termasuk pengangkutan, prasarana, nisbah plot dan ketinggian bangunan.

“Kita tidak boleh melihat perubahan guna tanah hanya daripada sudut nilai pembangunan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata kesan terhadap trafik, kapasiti prasarana, keselamatan dan keselesaan kejiranan perlu dinilai sebelum perancangan dimuktamadkan.

Setiap pandangan akan diteliti bersama input teknikal agensi berkaitan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, bantahan di Taman Abad turut menyentuh keperluan prasarana, manakala pertimbangan bagi Jalan Persiaran Senibong mengambil kira faktor keselamatan kawasan.

“Pembangunan yang berjaya bukan hanya diukur melalui berapa banyak bangunan yang dapat dibangunkan, tetapi sejauh mana rakyat boleh tinggal, bekerja, bergerak dan menjalani kehidupan dengan lebih selesa serta selamat,” katanya.