Kerajaan Johor mempertingkat tindakan tegas terhadap premis perniagaan warga asing tanpa kebenaran sah, dengan rekod penguatkuasaan menunjukkan peningkatan drastik di seluruh negeri sepanjang 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata tindakan ini dilaksanakan susulan operasi bersepadu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), yang mendapati peningkatan pelanggaran dalam sektor runcit, perkhidmatan dan industri kecil.
“PBT di 16 kawasan pihak berkuasa menjalankan rondaan harian, pemeriksaan berkala dan operasi besar-besaran bersama Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Tenaga Kerja serta agensi berkaitan.
“Usaha ini bertujuan memastikan hanya pemilik sah dibenarkan beroperasi serta menghalang penyalahgunaan lesen oleh warga tempatan yang menyerahkan pengurusan kepada warga asing,” katanya ketika berucap dalam Sidang Dewan Negeri Johor pada 19 November.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Encik Tan Eng Meg (Persatuan Cina Malaysia-Pekan Nanas), yang bertanya tentang tindakan penguatkuasaan yang telah dan sedang dilaksanakan terhadap premis perniagaan yang dimiliki atau dikendalikan oleh warga asing.
Data penguatkuasaan menunjukkan lonjakan besar bagi tempoh Disember 2024 hingga Oktober 2025.
Jumlah kompaun meningkat daripada RM30,000 ($9,379) pada 2024 kepada RM180,000 pada 2025, iaitu kenaikan enam kali ganda.
“Sepanjang tempoh ini, sebanyak 158 notis kesalahan dikeluarkan, 304 kompaun dikenakan dan 552 tindakan sitaan dilaksanakan. Tindakan penutupan sementara premis juga dilakukan melalui pemasangan tali kuning sebagai langkah kawalan bagi mengekang pengoperasian tanpa lesen sah.
“Di kawasan tumpuan seperti Pontian, Kulai, Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru, pasukan penguatkuasa mengenal pasti modus operandi baru, termasuk pemindahan lesen secara tidak sah kepada warga asing.
“Premis seperti kedai runcit, serbaneka dan pusat cuci kereta merupakan antara yang paling banyak dikesan menggaji atau dikendalikan warga asing tanpa dokumen sah,” ujarnya.
Majlis Perbandaran Pontian, sebagai contoh, menjalankan tiga operasi intensif pada 6, 13 dan 16 Oktober hasil aduan penduduk tempatan.
Peningkatan mendadak jumlah sitaan, daripada 52 kes pada tahun 2024 kepada 500 kes sehingga Oktober 2025, menggambarkan kesungguhan PBT memperkasa tindakan lapangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg