Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penguasa Johor: Perobohan rumah demi elak warga asing tanpa izin duduk secara haram

Oct 23, 2025 | 1:14 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (kiri), bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah (kanan), ketika melakukan lawatan ke Kebun Teh, Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (kiri), bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah (kanan), ketika melakukan lawatan ke Kebun Teh, Johor Bahru. - Foto ihsan PEJABAT JAWATANKUASA KESIHATAN DAN ALAM SEKITAR JOHOR

Kerajaan Johor menegaskan bahawa tindakan meroboh rumah kayu di kawasan Kebun Teh pada 15 Oktober hanya melibatkan 11 rumah kosong dan bukannya rumah yang didiami penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata kawasan berkenaan merupakan tanah rizab perkuburan di bawah pengurusan Persatuan Tiong Hua Johor Bahru, yang sejak kebelakangan ini telah didiami pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Untuk makluman, tindakan itu hanya melibatkan rumah yang tidak lagi didiami, manakala 36 keluarga tempatan masih menetap di situ dan tidak terlibat dalam perobohan. Langkah ini diambil selepas aduan penduduk mengenai isu keselamatan dan kebersihan,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Oktober.

Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan Pejabat Tanah Johor Bahru bagi mengelak pencerobohan semula ke atas rumah kosong, susulan serbuan terdahulu oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan lebih 100 individu tanpa dokumen sah.

“Penduduk tempatan tidak diusir, sebaliknya diberikan lanjutan tempoh 30 hari untuk membuat persediaan dan boleh memohon Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) melalui agensi perumahan kerajaan negeri,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan Johor sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata tindakan kerajaan negeri bertujuan menangani penempatan haram serta menempatkan semula penduduk asal yang layak ke kawasan lebih teratur dan selamat.

Beliau berkata kawasan itu telah lama menjadi penempatan tidak terancang, sebahagiannya diduduki warga asing tanpa izin, yang menimbulkan isu keselamatan, kebersihan serta penyalahgunaan tanah yang diwartakan sebagai rizab perkuburan.

“Kerajaan negeri berhasrat mencapai matlamat ‘Sifar Setinggan’ di Johor. Penduduk asal yang layak akan dibantu mendapatkan rumah melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dengan kerjasama Exco Perumahan Negeri,” katanya.

Encik Mohd Hairi turut memberi jaminan bahawa notis awal perobohan telah dilanjutkan 30 hari bagi membolehkan penduduk mencari kediaman baru, manakala Persatuan Tiong Hua digalakkan membantu dalam proses permohonan perumahan.

Difahamkan sebanyak 1,422 rumah di beberapa kawasan setinggan di sini sudah dikenal pasti antaranya di Kampung Melayu Majidee membabitkan 790 rumah, Taman Sinaran Kempas (336), Larkin (180) dan Kebun Teh (116).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg