Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026 hingga 2031 menampilkan empat muka baharu dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Ia turut mencatat sejarah dengan pelantikan 10 Timbalan Exco bagi memperkukuh penyampaian khidmat kepada rakyat dan mempercepat pelaksanaan Agenda Maju Johor 2030.

Pembentukan barisan itu menyusuli kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 pada 11 Julai apabila gabungan berkenaan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.

Kesemua 10 Exco mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Bukit Serene pada 18 Julai.

Empat muka baharu yang dilantik ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Cik Hasrunizah Hassan, yang mengetuai pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; Adun Panti, Dr Muhamad Naqib Md Ghazali, bagi pendidikan dan penerangan; Adun Perling, Encik P. Pannir Selvam bagi perpaduan, warisan dan budaya; serta Adun Kukup, Encik Md Israk Abdullah, bagi pertanian, industri asas tani dan kemajuan luar bandar.

Empat muka baharu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik terdiri (dari kiri), Dr Muhamad Naqib Md Ghazali, Encik Md Israk Abdullah, Encik P. Pannir Selvam dan Cik Hasrunizah Hassan.
Empat muka baharu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik terdiri (dari kiri), Dr Muhamad Naqib Md Ghazali, Encik Md Israk Abdullah, Encik P. Pannir Selvam dan Cik Hasrunizah Hassan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Enam Exco yang dikekalkan ialah Encik Lee Ting Han, bagi pelaburan, perdagangan, hal ehwal pengguna dan sumber manusia; Encik Ling Tian Soon, bagi kesihatan dan alam sekitar; Encik Mohd Hairi Mad Shah, bagi belia dan sukan, pembangunan usahawan dan koperasi; Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, bagi kerja raya, pengangkutan, prasarana dan perhubungan; Datuk Mohd Jafni Md Shukor, bagi perumahan dan kerajaan tempatan; serta Encik Mohd Fared Mohd Khalid, bagi hal ehwal agama Islam.

Pertumbuhan ekonomi jadi tumpuan

Encik Lee berkata keutamaan pentadbiran baharu ialah menunaikan janji pilihan raya dan memastikan Pelan Transformasi Ekonomi Johor dilaksanakan dengan lebih pantas, terutama ketika negeri itu berusaha mencapai taraf negeri maju menjelang 2030.

“Menjelang 2030, kita mahu Johor menjadi negeri maju bukan sahaja dari segi ekonomi dan pelaburan, malah dari segi prasarana, pendidikan, kesihatan serta ketamadunan.

“Apa yang telah dilaksanakan akan diteruskan. Mana-mana kekurangan pula perlu ditambah baik supaya empat tahun akan datang menjadi tempoh perubahan besar bagi Johor,” katanya.

Beliau berkata Johor berada pada landasan yang betul selepas mencatat pertumbuhan ekonomi 6.4 peratus pada 2024 dan 8 peratus pada 2025.

“Dua tahun berturut-turut Johor menjadi negeri yang berkembang paling pantas di Malaysia. Kita berharap rentak ini diteruskan sehingga 2030,” katanya.

Encik Lee Ting Han memulakan hari pertama beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor di Kota Iskandar.
Encik Lee Ting Han memulakan hari pertama beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor di Kota Iskandar. - Foto FACEBOOK LEE TING HAN

Perkembangan pentadbiran Johor turut penting kepada warga Singapura kerana negeri itu mempunyai hubungan perdagangan, pelaburan, pekerjaan dan pergerakan harian yang rapat dengan republik tersebut.

Kemajuan ekonomi, prasarana, kesihatan dan alam sekitar Johor dijangka mempengaruhi keyakinan pelabur serta keselesaan pengunjung rentas sempadan.

Dalam perkembangan lain, Encik Ling berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kesihatan utama melalui peningkatan kemudahan, pembentukan sistem bagi mengurangkan beban serta penyediaan suasana lebih selesa untuk pesakit dan petugas.

“Kerajaan negeri memandang serius isu kesihatan, khususnya bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah kesesakan di kemudahan kesihatan.

“Banyak usaha telah dilaksanakan sepanjang empat tahun lalu dan kita sudah melihat kemajuan. Perancangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan diteruskan supaya mutu khidmat kepada rakyat dapat dipertingkat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (tengah), melawat Klinik Kesihatan Larkin, Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (tengah), melawat Klinik Kesihatan Larkin, Johor Bahru. - Foto FACEBOOK AH SOON

Dalam bidang alam sekitar, beliau berkata jumlah sungai tercemar di Johor telah berkurang daripada 14 kepada tujuh.

Tumpuan seterusnya akan diberikan kepada pemulihan beberapa sungai, selain usaha membersihkan Sungai Tebrau dan Sungai Skudai yang menjadi antara sungai utama di daerah Johor Bahru.

“Kita mahu meningkatkan kebersihan dan keindahan kedua-dua sungai ini serta memulihkan ekosistemnya.

“Mudah-mudahan usaha tersebut menjadikan Johor Bahru lebih indah, bersih dan sesuai didiami,” katanya.

Empat Exco baharu mahu diberi peluang

Cik Hasrunizah pula berkata beliau menerima amanah baharu itu dengan rendah hati dan menyedari bidang pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, jabatan, badan berkaitan dengan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Hasrunizah Hassan (tiga dari kiri), bersama timbalannnya, Cik Chan San San (tiga dari kanan), di Ibu Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), Kota Iskandar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Hasrunizah Hassan (tiga dari kiri), bersama timbalannnya, Cik Chan San San (tiga dari kanan), di Ibu Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), Kota Iskandar. - Foto FACEBOOK HASRUNIZAH HASSAN

“Saya masih perlu banyak belajar, mendengar dan memahami. Saya akan berusaha menggerakkan bidang tugas ini dengan semangat berpasukan dan keprihatinan terhadap rakyat.

“Setiap dasar dan usaha mesti benar-benar memberi manfaat kepada wanita, keluarga dan masyarakat di Johor,” katanya.

Sementara itu, Encik Pannir Selvam berkata perpaduan perlu terus menjadi asas keharmonian masyarakat majmuk Johor, manakala warisan dan budaya mesti dipelihara sebagai lambang jati diri Bangsa Johor.

“Perpaduan merupakan asas keharmonian masyarakat, sementara warisan dan budaya mencerminkan jati diri bangsa Johor.

“Saya beriltizam memperkukuh persefahaman, memelihara khazanah warisan dan memastikan nilai yang diwarisi terus diperkasakan untuk generasi akan datang,” katanya.

Encik Md Israk pula berkata beliau telah menerima taklimat daripada 26 jabatan dan badan berkaitan mengenai pelaksanaan 37 usaha utama bernilai lebih RM143 juta ($45 juta) dalam bidang pertanian, industri asas tani dan kemajuan luar bandar sehingga Julai 2026.

“Keseluruhannya berada dalam keadaan baik dan mengikut perancangan. Saya akan memastikan setiap dasar, rancangan dan projek membawa hasil nyata kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menghargai khidmat Datuk Zahari Sarip, sepanjang penggal lalu.

“Asas yang dibina akan diteruskan untuk menjadikan pertanian dan kemajuan luar bandar antara pemacu kemakmuran negeri,” katanya.

Dr Muhamad Naqib berkata pendidikan dan penerangan ialah tanggungjawab baharu baginya selepas sebelum ini mempunyai latar belakang dalam bidang kesihatan.

Adun Panti yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhamad Naqib Md Ghazali.
Adun Panti yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhamad Naqib Md Ghazali. - Foto FACEBOOK DR. NAQIB GHAZALI

“Ini satu amanah besar dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Saya akan melihat perkara yang telah dilaksanakan oleh pimpinan terdahulu untuk diteruskan.

“Kita juga perlu bekerjasama dalam menyampaikan maklumat kerajaan serta memastikan usaha pendidikan yang dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

10 Timbalan Exco untuk perkukuh pentadbiran

Selain barisan Exco, kerajaan negeri turut melantik 10 Timbalan Exco bagi membantu memantau projek, menyelaraskan tindakan di lapangan, mempercepat penyelesaian masalah rakyat dan memastikan manfaat rancangan kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.

Mereka ialah Encik Zaidi Japar, bagi perumahan dan kerajaan tempatan; Cik Nadhirah Afiqah Abdullah Rahim, bagi belia dan sukan, pembangunan usahawan dan koperasi; Encik Anuar Abd Manap, bagi hal ehwal agama Islam; Encik Mohd Youzaimi Yusof, bagi kesihatan dan alam sekitar.

Syed Hussien Syed Abdullah dilantik bagi pelaburan, perdagangan, hal ehwal pengguna dan sumber manusia; sementara Datuk Mohamad Najib Samuri, bagi kerja raya, pengangkutan, prasarana dan perhubungan.

Sementara itu, Cik Chan San San, dilantik bagi pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; Encik Sahrihan Jani, bagi pertanian, industri asas tani dan kemajuan luar bandar; Encik Chua Jian Boon, bagi perpaduan, warisan dan budaya; serta Encik Rugendran Vellayan, bagi pendidikan dan penerangan.

Timbalan Exco termuda, Encik Rugendran Vellayan (kiri), yang berusia 29 tahun; dan Timbalan Exco tertua, Encik Zaidi Japar, yang berusia 57 tahun.
Timbalan Exco termuda, Encik Rugendran Vellayan (kiri), yang berusia 29 tahun; dan Timbalan Exco tertua, Encik Zaidi Japar, yang berusia 57 tahun. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Syed Hussien berkata pelaburan yang masuk ke Johor tidak seharusnya hanya tertumpu di Johor Bahru dan kawasan selatan, sebaliknya perlu membawa hasil kepada daerah lain termasuk kawasan luar bandar dan utara negeri.

“Kita mahu manfaat pelaburan dirasai seluruh rakyat Johor. Pembangunan perlu memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat, bukan hanya mereka yang tinggal berhampiran pusat pertumbuhan utama,” katanya.

Cik Chan berkata pengalamannya mengendalikan kes keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan kebajikan masyarakat akan dimanfaatkan untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah di peringkat akar umbi.

“Pengalaman itu memberi gambaran jelas mengenai cabaran yang dihadapi rakyat. Saya akan menggunakannya untuk membantu mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah (memegang telefon bimbit), yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, melawat lokasi longkang tersumbat di Pasar Awam Kluang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah (memegang telefon bimbit), yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, melawat lokasi longkang tersumbat di Pasar Awam Kluang. - Foto FACEBOOK SYED HUSSIEN BIN SYED ABDULLAH

Cik Nadhirah pula berkata beliau bersedia mendekati golongan muda daripada pelbagai latar belakang dan bekerjasama dengan Exco berkenaan bagi memperluas peluang untuk belia Johor.

“Bidang ini tidak asing bagi saya kerana saya aktif dalam pelbagai kegiatan belia. Saya akan memastikan suara dan keperluan golongan muda terus diberi perhatian,” katanya.

Pelantikan barisan baru itu menandakan permulaan tempoh penting bagi Johor untuk menterjemahkan mandat besar pilihan raya kepada hasil yang dapat dilihat dan dirasai rakyat, selain memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai pusat pertumbuhan utama di selatan Malaysia.

“Saya masih perlu banyak belajar, mendengar dan memahami. Saya akan berusaha menggerakkan bidang tugas ini dengan semangat berpasukan dan keprihatinan terhadap rakyat. Setiap dasar dan usaha mesti benar-benar memberi manfaat kepada wanita, keluarga dan masyarakat di Johor.”
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Cik Hasrunizah Hassan.

“Ini satu amanah besar dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Saya akan melihat perkara yang telah dilaksanakan oleh pimpinan terdahulu untuk diteruskan. Kita juga perlu bekerjasama dalam menyampaikan maklumat kerajaan serta memastikan usaha pendidikan yang dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya.”
Adun Panti, Dr Muhamad Naqib Md Ghazali.

“Perpaduan merupakan asas keharmonian masyarakat, sementara warisan dan budaya mencerminkan jati diri bangsa Johor. Saya beriltizam memperkukuh persefahaman, memelihara khazanah warisan dan memastikan nilai yang diwarisi terus diperkasakan untuk generasi akan datang.”
Adun Perling, Encik P. Pannir Selvam.