Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencemaran kimia sebabkan penduduk 4 kawasan di JB pening kepala, loya

Sep 3, 2024 | 4:43 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (dua dari kiri) bersama anggota bomba melihat air Sungai Pandan yang berwarna hitam dan berbau busuk, disyaki menjadi punca pencemaran bau bahan kimia di Kampung Melayu Pandan; Taman Daya; Taman Mount Austin dan Taman Istimewa, di Johor Bahru, pada 3 September.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (dua dari kiri) bersama anggota bomba melihat air Sungai Pandan yang berwarna hitam dan berbau busuk, disyaki menjadi punca pencemaran bau bahan kimia di Kampung Melayu Pandan; Taman Daya; Taman Mount Austin dan Taman Istimewa, di Johor Bahru, pada 3 September. - Foto FACEBOOK LING TIAN SOON

JOHOR BAHRU: Penduduk di kawasan kampung dan taman sekitar Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru mendakwa mengalami pening kepala dan loya sejak awal pagi 3 September, dipercayai berpunca daripada pencemaran bau kimia.

Setakat 4 petang, pasukan siasatan mengesan Sungai Pandan dekat Kampung Melayu Pandan itu dicemari bahan kimia, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti jenis bahan kimia berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata sampel air dan tanah sudah diambil pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor untuk analisis awal.

Menurutnya pengukuran nilai pH (ukuran keasidan dan kealkalian air) di Sungai Pandan setakat ini menunjukkan ia masih normal, namun ujian pengesanan lanjut mendapati terdapat kandungan bahan kimia.

“Belum dapat dipastikan bahan kimia ini, termasuk sama ada ia melebihi paras (selamat), jadi kita menunggu pakar (Hazmat) dari JBPM Melaka untuk melakukan siasatan lanjut.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga bersama-sama bomba turun ke lokasi dan mendapati tahap kepekatan bau di sini adalah lebih ketara, berbanding di Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa, Johor Bahru.

“Pasukan siasatan mengesahkan ada berlaku pencemaran di sini dan seterusnya, pasukan teknikal JAS akan ke lokasi dengan membawa meter pengesan pencemaran untuk mendapatkan laporan lebih terperinci,” katanya, lapor Harian Metro.

Encik Ling berkata setakat ini penduduk di kawasan terjejas tidak mengalami gejala ketara dan tiada yang dimasukkan ke hospital kerana gangguan kesihatan akibat pencemaran bau itu.

Bagaimanapun beliau menasihati penduduk supaya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran, sekiranya mengalami gejala, selain menggunakan pelitup hidung dan mulut.

Beliau memaklumkan JAS juga akan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di kira-kira 100 kilang di kawasan berhampiran susulan pencemaran berkenaan.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Melayu Pandan, Encik Muhammad Mirzal, 42 tahun, berkata pencemaran bau itu disedari pada 4.30 pagi ketika bersiap-siap untuk pergi berniaga.

“Saya menghubungi talian 999 dan disambungkan kepada pihak bomba untuk memaklumkan kejadian itu, sebelum mereka tiba pada 8.30 pagi untuk melakukan siasatan.

“Macam bau minyak, kadangkala macam bau gas, tetapi memang tidak menyenangkan. Apa yang membimbangkan, pencemaran bau masih berlarutan hingga kini,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Melayu Pandan, Encik Mohd Fauzi Mohamad, berkata ketika air Sungai Pandan surut, warnanya kehitaman serta berminyak.

“Saya tidak pasti sama ada ia berlaku di sepanjang Sungai Pandan yang sejauh lebih satu kilometer atau sebaliknya. Kami bimbang kerana kawasan perkampungan ini memiliki ribuan penduduk dan kumpulan warga emas yang ramai,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg