Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Kota Tinggi desak tapak pelupusan sampah Batu 4 henti terima sisa luar daerah

Oct 7, 2025 | 4:26 PM
Tapak pelupusan sampah di Batu 4, Kota Tinggi, yang dikatakan menjadi punca kepada pencemaran udara dan bau busuk oleh penduduk sekitar.
Tapak pelupusan sampah di Batu 4, Kota Tinggi, yang dikatakan menjadi punca kepada pencemaran udara dan bau busuk oleh penduduk sekitar. - Foto FACEBOOK ALIAS RASMAN

Penduduk tempatan dan beberapa pertubuhan masyarakat mendesak agar operasi tapak pelupusan sampah (TPS) Batu 4, Kota Tinggi, dihentikan serta-merta daripada terus menerima sisa buangan dari luar daerah Kota Tinggi, susulan aduan berterusan mengenai pencemaran udara, bau busuk dan risiko kesihatan yang semakin membimbangkan.

Bekas Menteri Kesihatan yang juga Ketua Umno Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata isu berkenaan telah berlarutan sejak tiga tahun lalu meskipun pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pernah berjanji untuk tidak lagi menerima sampah dari daerah lain.

“Segala-galanya bermula pada Oktober 2022 apabila diadakan sesi libat urus atau townhall bersama penduduk mengenai pengurusan tapak pelupusan sampah Batu 4 yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Kota Tinggi.

“Pada waktu itu, penduduk telah menyuarakan bantahan terhadap tindakan membawa masuk sisa dari luar daerah kerana tapak berkenaan sudah padat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Namun menurut beliau, keadaan kini semakin serius apabila TPS Batu 4 terus menerima muatan buangan dari daerah lain termasuk Pontian, Pasir Gudang dan Tebrau, sekali gus menambah beban kepada penduduk tempatan.

“Kami turun membuat bantahan pada 1 Oktober kerana keadaan masih sama. Bau busuk semakin teruk, lalat banyak, jalan raya kotor dan timbunan sampah sudah tinggi serta tidak terkawal. Ini bukan sahaja mencemar udara dan alam sekitar, malah berisiko menjejaskan air Sungai Johor.

“Kecekapan SWCorp amat kami pertikaikan, dan pihak PBT Kota Tinggi mesti tegas dalam membantu rakyat. Jangan biarkan kami terus menanggung beban akibat pengurusan yang lemah,” katanya.

Dalam masa yang sama, wakil Persatuan Kota Rumah Kita, Encik Alias Rasman, berkata himpunan aman yang diadakan bersama NGO dan penduduk setempat pada 1 Oktober merupakan kesinambungan kepada siri bantahan yang pernah diadakan pada 1 Mei.

“Antara tuntutan utama kami ialah mendesak agar pihak berwajib memindahkan tapak pelupusan sampah ini ke lokasi baru secepat mungkin dan memperkukuh penguatkuasaan untuk menghalang sepenuhnya penghantaran sisa dari luar daerah Kota Tinggi.

“Bau busuk semakin kuat, longgokan sampah semakin menggunung dan menjejaskan kesihatan penduduk. Malah, hasil pemerhatian kami mendapati terdapat lori-lori yang membawa muatan sampah melebihi had serta membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah SWCorp Johor, Encik Zainal Fitri Ahmad, ketika dihubungi BH berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung pengoperasian tapak pelupusan Batu 4.

Beliau menjelaskan bahawa pelan pengalihan sisa antara daerah telah pun dilaksanakan secara berperingkat berikutan pembukaan TPS Bukit Payong di Batu Pahat.

“Kita memang merancang mengalihkan sisa dari Batu 4 ke sana. Namun proses ini perlu dilaksanakan secara berperingkat dan tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat,” katanya.

Menurut beliau, mulai 1 Oktober, semua sisa dari Daerah Kluang dan Simpang Renggam telah dialihkan ke tapak pelupusan Bukit Payong, manakala mulai 6 Oktober, sisa dari Daerah Pontian pula akan dialihkan ke Tapak Pelupusan Sanitari Selong di Kulai.

“Sehubungan itu, bermula 6 Oktober 2025, hanya sisa dari Daerah Kota Tinggi sahaja yang dilupuskan di Tapak Pelupusan Batu 4,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg