Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor peruntuk RM2j bangun pusat penyelidikan dan inovasi pertanian
Pusat baru rangkumi galeri, ruang kerja, bilik mesyuarat dan ruang pameran
ISKANDAR PUTERI: Pembangunan Hab Pemudah Cara, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Johor (J-ARDC) di Medini Iskandar kini mencapai kemajuan fizikal 96.65 peratus, sekali gus berada 53 hari lebih awal daripada jadual asal.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah, berkata kemajuan sehingga 31 Julai itu jauh mengatasi kadar 32.99 peratus yang dirancang.
Ini bermakna projek berkenaan mendahului jadual sebanyak 63.66 mata peratusan.
Beliau berkata J-ARDC merupakan antara inisiatif penting kerajaan negeri untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembaharuan dan pembangunan sektor pertanian Johor.
“J-ARDC bukan sekadar sebuah ruang fizikal. Kita mahu pusat ini menjadi antara pemangkin kepada perubahan pertanian Johor dengan menghubungkan hasil penyelidikan kepada penggunaan sebenar di lapangan.
“Ia juga akan mempertemukan kerajaan, penyelidik, institusi pengajian, pemain industri, usahawan dan masyarakat pertanian dalam satu ekosistem yang saling melengkapi,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Ogos.
Menerusi Belanjawan Johor 2026, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta ($625,681) bagi pembangunan J-ARDC.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 juta disediakan bagi membangunkan Hab Pemudah Cara J-ARDC, manakala RM500,000 lagi diperuntukkan untuk Pusat Informasi J-ARDC.
Encik Md Israk berkata kemudahan di pusat berkenaan merangkumi ruang penerimaan, galeri, ruang kerja, bilik mesyuarat dan ruang pameran.
Menurutnya, kemudahan itu diharap menjadi wadah yang menghimpunkan kegiatan penyelidikan, perkongsian ilmu, pembaharuan serta pembentukan jaringan strategik dalam sektor pertanian negeri.
“Dalam landskap pertanian yang semakin dipacu oleh teknologi, data dan pembaharuan, Johor perlu sentiasa berada selangkah di hadapan.
“Penyelidikan yang dibangunkan mesti diterjemahkan kepada peningkatan daya pengeluaran, pengukuhan keterjaminan makanan, penciptaan nilai ekonomi baharu serta peningkatan pendapatan pemain industri dan masyarakat tani,” katanya.
Beliau berkata pembangunan J-ARDC merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri membawa sektor pertanian ke tahap lebih tinggi menerusi penggunaan penyelidikan, teknologi dan kaedah pengeluaran moden.
Katanya, hala tuju serta fungsi pusat itu akan terus diperhalusi bersama Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor atau Johor Biotech serta pihak berkaitan.
Langkah itu penting bagi memastikan pelaburan kerajaan negeri memberi kesan nyata kepada petani, penternak, usahawan agromakanan dan pemain industri.
“J-ARDC diharapkan menjadi salah sebuah pusat pemacu pembaharuan pertanian Johor, melahirkan lebih banyak penyelesaian baharu dan membawa manfaat kepada seluruh rantaian sektor pertanian,” katanya.
