ISKANDAR PUTERI (Johor): Johor merancang penyediaan 490 rumah tambahan di seluruh negeri, dengan keutamaan kepada 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menerima kurang daripada 20 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) sepanjang 2022 hingga 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata rancangan itu melibatkan 20 unit di setiap kawasan berkenaan dan lima unit di setiap satu daripada baki 42 kawasan DUN.

“Pengagihan adil tidak bermaksud setiap DUN menerima angka yang sama; ia bermaksud rumah disediakan di tempat yang benar-benar memerlukannya, pada kategori harga yang mampu dibayar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-16 di Dewan Negeri Johor, di sini, pada 23 November.

Menurut Datuk Mohd Jafni, perancangan mengambil kira data Sistem e-Rumah Johor, jumlah pemohon layak, bekalan kediaman, pendapatan isi rumah dan kesesuaian tapak di 10 daerah serta 56 kawasan DUN.

Langkah itu menyokong sasaran menyediakan 100,000 rumah menjelang 2030, merangkumi 30,000 unit bagi tempoh 2022 hingga 2026 dan tambahan 70,000 unit antara 2027 dengan 2030.

“Setakat suku ketiga 2026, sebanyak 25,791 unit telah siap dibina, manakala baki 4,209 unit disasarkan siap menjelang akhir tahun.

“Kerajaan negeri turut merancang 200 unit lagi Rumah Kasih Johor pada 2027. Kesesuaian tanah kerajaan, wakaf dan baitulmal akan diteliti bersama pihak berkaitan bagi memperluas pilihan pembangunan perumahan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Selain pemaju swasta, pembangunan kediaman akan digerakkan melalui tanah kerajaan serta kerjasama kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Pilihan kediaman turut merangkumi sewa untuk beli.

“Citra Johor turut dirangka sebagai contoh kejiranan bersepadu yang merangkumi Rumah Orang Muda dan Kediaman Mesra Warga Emas,” katanya.

Datuk Mohd Jafni menekankan bahawa perumahan perlu berdekatan dengan peluang pekerjaan, pengangkutan, sekolah, surau dan ruang kegiatan masyarakat.

Bagi mengatasi halangan pembangunan, Jawatankuasa Perancangan, Reka Bentuk dan Penilaian (PDRC) telah diwujudkan untuk menghimpunkan pemaju, pihak berkuasa tempatan serta pihak berkaitan untuk menyelesaikan urusan kelulusan, susun atur dan penyediaan kemudahan awam.

Kemajuan pembinaan pula dipantau melalui Smart RMMJ pada peringkat mula dibina, penawaran dan siap dibina, supaya kelewatan atau kerja yang belum bermula dapat dikenal pasti lebih awal.