Kerajaan Johor kini giat merangka penyelesaian menyeluruh terhadap isu kekurangan tempat letak kenderaan di beberapa lokasi tumpuan sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri yang dipercayai berpunca daripada peningkatan jumlah rakyat tempatan yang berulang-alik bekerja di Singapura.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, kerajaan negeri menerima semakin banyak aduan daripada peniaga di kawasan bandar raya yang mendakwa pelanggan mereka sukar mendapat petak meletak kenderaan kerana kawasan hadapan premis telah dipenuhi oleh kenderaan yang ditinggalkan seawal pagi sehingga lewat malam.
“Isu ini menjadi semakin kritikal, terutamanya di lokasi seperti Taman Ungku Tun Aminah dan Larkin. Peniaga mengadu bahawa pelanggan tidak dapat meletakkan kenderaan mereka kerana petak telah diisi oleh pekerja-pekerja yang bekerja di Singapura,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM).
Sehubungan itu, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang melibatkan kerjasama rapat antara pihak berkuasa tempatan dan agensi negeri yang berkaitan.
Fokus utama diberikan kepada dua kawasan iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
“Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan meletak kenderaan swasta di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Ini hasil perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan dan Exco Kerja Raya negeri,” jelas Datuk Mohd Jafni.
Katanya lagi, antara pendekatan yang sedang diteliti ialah kaedah pewartaan khas tempat letak kenderaan di kawasan seperti Taman Ungku Tun Aminah dan Larkin, yang sering menjadi tumpuan untuk meletak kenderaan dalam tempoh yang lama.
“Kita juga sedang mengenal pasti tanah lapang yang boleh dijadikan kawasan letak kenderaan alternatif bagi kegunaan jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata isu ini turut dibincangkan dalam mesyuarat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai salah satu keutamaan dalam memastikan kelancaran pergerakan rakyat antara kedua-dua negara.
“Kita dapati ramai pekerja tempatan yang bekerja di Singapura meletakkan kenderaan mereka di kawasan letak kenderaan awam di hadapan kedai dan kawasan perumahan. Jadi sebelum kita laksanakan penguatkuasaan, kita perlu pastikan dahulu ada cukup kawasan letak kenderaan yang boleh digunakan,” katanya.
Beliau berkata antara cadangan yang diketengahkan ialah pelaksanaan sistem meletak kenderaan ‘Park-n-Ride’ yang melibatkan kerjasama dengan pemilik kawasan letak kenderaan swasta yang luas, seperti pusat membeli-belah.
“Sebagai contoh, jika sebuah pusat beli-belah mempunyai kawasan letak kenderaan yang tidak digunakan sepenuhnya pada hari bekerja, kita akan jalinkan kerjasama agar kenderaan pekerja yang ke Singapura boleh diletakkan di situ.
“Mereka boleh kenakan bayaran, dan pada masa sama bantu kurangkan tekanan kawasan letak kenderaan di kawasan perumahan dan perniagaan,” katanya.
Antara pihak yang telah menyatakan minat awal dalam kerjasama ini ialah Sutera Mall dan Mid Valley Southkey, yang difahamkan kini sedang dalam proses menaik taraf kawasan letak kenderaan mereka untuk menyokong inisiatif tersebut.
“Kita akan bantu mempromosikan lokasi mereka sebagai tempat letak kenderaan pilihan bagi pekerja yang berulang-alik ke Singapura.
“Apabila semuanya telah bersedia dan kemudahan mencukupi, barulah kita laksanakan penguatkuasaan supaya mereka tidak meletakkan kenderaan secara sewenang-wenangnya di kawasan yang mengganggu perniagaan tempatan,” kata Encik Mohamad Fazli.
Sebagai tambahan kepada pelan jangka panjang, kerajaan negeri turut merancang untuk membangunkan kemudahan meletak kenderaan bertingkat dengan sistem bayaran berhampiran Stesen Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Bukit Chagar, yang mampu memuatkan 1,550 kenderaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg