Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tempat letak kenderaan di Johor dibolot pekerja M’sia di S’pura 15 jam sehari

Jun 11, 2025 | 3:35 PM
Lot kenderaan yang penuh dan sesak dengan ratusan kenderaan Malaysia yang bekerja di Singapura memenuhi lokasi di kawasan Medan Nusa Perintis 2, Gelang Patah.
Lot kenderaan yang penuh dan sesak dengan ratusan kenderaan Malaysia yang bekerja di Singapura memenuhi lokasi di kawasan Medan Nusa Perintis 2, Gelang Patah. - Foto NSTP

ISKANDAR PUTERI: Lot kenderaan di kawasan Perling dan Skudai yang dibolot dan dimonopoli kenderaan pekerja Malaysia di Singapura sejak dua tahun lalu menimbulkan kegusaran ramai.

Ia menjejas ribuan lot itu yang berhadapan unit perniagaan utama, selain rizab dikhaskan buat penjaja dan peniaga kecil di bandar itu dan Johor Bahru.

Tinjauan di kawasan Medan Nusa Perintis 2, Gelang Patah dan Perling, mendapati kawasan lot kenderaan awam di situ penuh sesak dengan ratusan kenderaan pekerja Malaysia di Singapura yang memenuhi lokasi berkenaan seawal 5 pagi dan hanya akan dikosongkan selepas 8 malam setiap hari bekerja.

Ia menyebabkan pelanggan yang mahu mengunjungi premis perniagaan di sekitar Iskandar Puteri, Perling dan Skudai tidak dapat berbuat demikian selain menyebabkan kesesakan apabila pelanggan terpaksa meletakkan kenderaan secara berlapis atau di bahu jalan.

Peniaga makanan di rizab dikhaskan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Perling yang mahu dikenali sebagai Emma berkata beliau terpaksa berniaga di hadapan kenderaan yang diletakkan di lot niaganya.

“Ketika tiba di tapak niaga dikhaskan MBIP di sini, pagi 9 Jun, saya terkejut apabila dapati lot niaga sudah dipenuhi kenderaan.

“Beberapa pemilik kereta berkenaan hanya muncul lewat petang dan mereka mempertikaikan pula saya dan peniaga lain sama ada mempunyai lesen berniaga di sini, sedangkan kawasan ini dikhaskan MBIP untuk penjaja,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia.

Peniaga makanan di Medan Selera Iskandar Malaysia, Gelang Patah, mahu dikenali sebagai Mar Muhammad, 33 tahun, berkata hampir 20 gerai makanan di situ kerugian sejak dua tahun lalu berikutan jumlah pelanggan semakin berkurangan.

Katanya, isu kenderaan pekerja Malaysia di Singapura yang memonopoli lot kenderaan di situ selama 15 jam sehari sudah diadukan kepada MBIP bagi penyelesaiannya.

“Namun, isu ini masih belum dapat diatasi menyebabkan peniaga makanan yang beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam di sini kerugian akibat tidak ramai pelanggan dapat datang,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata beliau sudah membangkitkan isu itu pada mesyuarat penyelarasan daerah.

“Perlu ada mekanisme lebih tegas bagi memastikan lot kenderaan awam tidak terus dibolot pekerja Malaysia di Singapura yang meletakkan kenderaan mereka dalam tempoh lama lebih 15 jam sehari.

“Sebelum ini ada cadangan pihak berkuasa tempatan menyediakan tanah kosong di sekitar kawasan itu bagi dijadikan tapak khas kenderaan pekerja Malaysia di Singapura, namun cadangan itu setakat ini belum dilaksanakan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg