Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor rancang tambah 12 tren komuter selatan selepas RTS Link siap

Langkah bagi sokong operasi RTS Link, kurangi kesesakan kawasan bandar pada waktu sibuk
Aug 27, 2025 | 3:32 PM
Johor, tren komuter selatan, RTS Link
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto fail

Kerajaan Johor bercadang menambah 12 unit tren komuter bagi membantu menyuraikan trafik di kawasan JB Sentral sebaik sahaja projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata cadangan itu sedang menunggu pengesahan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pertimbangan Kabinet.

“Komuter selatan ini akan melibatkan tren KTMB yang beroperasi dari JB Sentral sehingga ke Paloh.

“Kita mahu meningkatkan kekerapan perkhidmatan bagi memanfaatkan landasan berkembar yang telah siap.

“Dengan adanya masa lapang pada jadual Tren Elektrik (ETS), tren komuter tambahan boleh dimasukkan untuk memenuhi permintaan dan menyuraikan penumpang RTS Link,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata cadangan itu merupakan sebahagian usaha menyokong operasi RTS Link dan mengurangkan kesesakan di kawasan bandar, terutama pada waktu sibuk.

“Sebaik RTS Link beroperasi, kita menjangka aliran penumpang yang tinggi di JB Sentral. Penambahan komuter ini adalah langkah proaktif untuk mengagihkan penumpang dan melengkapi rangkaian pengangkutan awam negeri,” ujarnya.

Encik Mohamad Fazli turut memaklumkan bahawa projek RTS Link kini berada pada tahap kemajuan sekitar 70 hingga 80 peratus bagi komponen fizikal.

“Empat elemen utama RTS Link iaitu jejambat (viaduct), stesen, depoh dan sistem elektrik sedang berjalan lancar.

“Sehingga 31 Julai 2025, kerja pembinaan jejambat sudah 100 peratus siap, manakala stesen berada pada tahap 45 peratus dan depoh mencatat kemajuan 81 peratus,” terangnya.

Beliau menambah bahawa komponen berkaitan sistem elektrik, pengecasan dan penyepaduan teknologi sedang turut dilaksanakan di stesen utama.

“Elemen ini agak kompleks kerana melibatkan kerja sistem dan peralatan, namun semuanya berada pada landasan betul. RTS Link dijangka siap mengikut jadual,” katanya.

Encik Mohamad Fazli berkata perkembangan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan Johor dan persekutuan untuk memastikan RTS Link menjadi pemacu utama mobiliti rentas sempadan serta meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di Johor Bahru.

RTS Link ialah sistem kereta api rentas sempadan antara Singapura dengan Johor Bahru yang dijadual siap pada Disember 2026.

Ia mempunyai kapasiti optimum 607 penumpang, dan maksimum 1,087 penumpang.

Setiap gerabak kereta api mempunyai 32 tempat duduk, termasuk empat yang boleh dilipat bagi memberi ruang pada kerusi roda, kereta sorong bayi atau bagasi.

Secara keseluruhan, dalam sejam, hingga 10,000 penumpang mampu membuat perjalanan dari Singapura ke Malaysia.

Kereta api berukuran 76.5 meter itu boleh mencapai kelajuan hingga 80 kilometer sejam, dengan tempoh perjalanan hanya lima minit antara Singapura dengan Johor Bahru.

Selang waktu antara kereta api juga pendek, hanya 3.6 minit dan berbentuk lebih kecil berbanding kereta api SMRT biasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg