Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor rangka SOP khas bencana gempa bumi

Sep 5, 2025 | 12:46 PM
Johor, SOP, gempa bumi
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin. - Foto FACEBOOK AZNAN TAMIN

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengambil langkah proaktif dengan merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) Bencana Gempa Bumi khusus bagi institusi pendidikan di seluruh negeri, susulan kejadian gegaran yang melanda beberapa kawasan termasuk Segamat baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata mesyuarat penyelarasan persediaan menghadapi bencana telah diadakan di UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat, bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan warga pendidikan sentiasa berada di tahap terbaik.

“Syukur Alhamdulillah, walaupun terdapat beberapa sekolah di Segamat mengalami kerosakan kecil, institusi pendidikan lain hanya merasai gegaran tanpa sebarang kerosakan serius.

“Namun, kita tidak boleh mengambil mudah hal ini. Keselamatan murid, guru dan warga pendidikan adalah keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 September.

Menurutnya, SOP baru itu merangkumi tindakan sebelum, semasa dan selepas bencana berlaku, sekali gus menjadi panduan utama kepada semua sekolah, kolej, universiti dan institusi pendidikan di Johor dalam menghadapi risiko gempa bumi.

Selain itu, inisiatif tambahan akan digerakkan termasuk penghasilan video simulasi keselamatan bencana untuk memberi pendedahan awal kepada murid, guru, mahasiswa dan masyarakat setempat mengenai cara bertindak yang tepat ketika berdepan gegaran.

“Usaha ini diterajui dengan kerjasama erat pelbagai jabatan dan agensi berkaitan. Matlamatnya ialah memastikan setiap institusi pendidikan benar-benar bersedia serta dapat bertindak segera dan teratur apabila berdepan sebarang kemungkinan bencana,” jelas Encik Aznan.

Beliau menyeru seluruh masyarakat untuk terus berdoa agar negeri Johor sentiasa dalam keadaan selamat dan dijauhkan daripada sebarang musibah.

Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, 27 Ogos (3.2); 7.56 malam, 28 Ogos (2.5); 4.24 pagi, 29 Ogos (3.4) dan 7.29 pagi 30 Ogos (2.7).

Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.

Dua gegaran turut direkodkan di Semerah dan Sri Medan, Batu Pahat, pada 31 Ogos dengan magnitud 3.0 dan 3 September dengan magnitud 2.9.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg