Orang ramai diingatkan supaya membawa payung apabila keluar, kerana cuaca basah dijangka berterusan dalam separuh pertama Mei, menurut Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 30 April.
Dalam tempoh dua minggu akan datang, hujan berserta guruh dijangka berlaku di beberapa kawasan pada waktu petang, disebabkan keadaan peralihan monsun yang membawa angin berubah arah dan bertiup perlahan serta peningkatan aktiviti petir, menurut kenyataan media yang dikeluarkan MSS.
Pada sebelah pagi, badai Sumatera juga mungkin membawa hujan lebat berserta guruh dan angin kencang, di seluruh pulau.
Suhu maksimum harian dijangka mencecah sekitar 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari, dan mungkin mencecah 35 darjah Celsius pada beberapa hari.
Dalam dua minggu terakhir April, Singapura mengalami hujan sederhana hingga lebat hampir setiap hari, lapor The Straits Times (ST).
Pada 20 April, hujan lebat berserta guruh melanda sebahagian besar kawasan, dengan Bukit Timah mencatat jumlah hujan harian sebanyak 113.6 milimeter – jumlah tertinggi yang dicatat dalam tempoh dua minggu terakhir April.
Kebanyakan kawasan di Singapura turut mencatat jumlah hujan melebihi purata, termasuk di Bukit Timah yang mencatat jumlah hujan 110 peratus lebih tinggi daripada purata.
Dua minggu terakhir April turut menyaksikan cuaca panas, dengan suhu maksimum harian melebihi 34 darjah Celsius, yang dicatatkan pada 11 hari. Suhu tertinggi harian ialah 36 darjah Celsius, yang dicatat di kawasan Admiralty pada 25 April.
Untuk maklumat terkini mengenai cuaca, layari www.weather.gov.sg atau www.nea.gov.sg, atau semak aplikasi myENV.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg