Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor rekod 19 kejadian gempa bumi sejak Ogos 2025
Johor rekod 19 kejadian gempa bumi sejak Ogos 2025
PETALING JAYA: Gempa bumi yang berlaku di perairan Batu Pahat, Johor, pada 22 September merupakan kejadian ke-19 direkodkan di sekitar negeri itu sejak kejadian pertama pada 23 Ogos 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata peningkatan kekerapan gempa bumi di Johor sejak kebelakangan ini berkemungkinan disebabkan keaktifan gempa bumi serantau dan global yang saling memberi kesan antara satu sama lain.
Beliau berkata berdasarkan rekod MetMalaysia, negeri-negeri di barat Semenanjung pernah merasai gegaran akibat gempa bumi di Sumatera, Indonesia, manakala daerah-daerah di timur Sabah pernah merasai gegaran akibat gempa bumi di Sulawesi, Indonesia dan Filipina.
Katanya, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana risiko bencana gempa bumi berskala besar di kawasan utama negara berada pada tahap sangat rendah.
Namun, beliau berkata gegaran daripada gempa bumi kuat di Sumatera, Filipina dan Sulawesi lazimnya boleh dirasai di beberapa tempat di Malaysia, terutama di barat Semenanjung dan timur Sabah.
Dr Mohd Hisham berkata kekuatan gegaran yang dirasai juga bergantung pada magnitud gempa, jarak sesuatu kawasan dari pusat gempa, kedalaman pusat gempa serta jenis batuan dan tanah.
“Gegaran daripada gempa yang berpusat pada kedalaman kurang 100 kilometer lebih kuat dirasai berbanding gempa yang pusatnya lebih dalam daripada 100 kilometer.
“Tanah lembut juga boleh menguatkan gelombang seismik di sepanjang laluannya.
“Secara umumnya, kejadian gempa bumi tidak boleh diramal lebih awal sebelum ia berlaku. Namun, kemungkinan gempa bumi berlaku sentiasa ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 23 September, media melaporkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat pada 4.55 petang.
MetMalaysia berkata gempa bumi itu berlaku pada koordinat 1.7 darjah utara dan 102.7 darjah timur dengan pusat gempa terletak kira-kira 27 kilometer barat daya Batu Pahat pada kedalaman 10 kilometer.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohd Akhmal Muhamad Sidek, berkata gempa berlaku menunjukkan Semenanjung Malaysia mempunyai sesar yang boleh menghasilkan gempa bumi tempatan.
Menurutnya, gegaran daripada kejadian berkenaan turut dirasai di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Beliau berkata Malaysia secara relatif tidak terletak pada sempadan utama pertembungan plat tektonik, namun negara ini tidak bebas sepenuhnya daripada risiko gempa bumi.