JOHOR BAHRU: Johor Sustainability Centre telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Saitama City, yang diiktiraf sebagai salah sebuah bandar termaju dalam pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di Jepun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata melalui perjanjian itu, Johor–Saitama Learning Centre akan ditubuhkan sebagai platform perkongsian teknologi dan pengalaman dalam bidang kelestarian.
Tambahnya, kerjasama itu memberi ruang bukan sahaja buat Johor mengimport kepakaran, bahkan juga mengadaptasi, memperkaya, malah berpotensi mengeksport model pembangunan lestari serantau, seiring aspirasi Maju Johor 2030.
Beliau turut menyaksikan penyerahan arca Johor–Saitama Learning Centre kepada Pengerusi Johor Sustainability Centre, Datuk Hasni Mohammad, yang bakal menjadi projek perintis di Johor.
“Bangunan itu akan menggunakan teknologi insulasi haba canggih daripada syarikat Takasago, sekali gus menguji kesesuaian reka bentuk rendah karbon dengan persekitaran tropika,” katanya dalam satu kenyataan pada 18 September.
Sementara itu, Datuk Hasni berkata kerjasama Johor–Saitama melalui MoU dan projek Johor–Saitama Learning Centre diyakini akan membuka jalan kepada pelbagai lagi projek berimpak tinggi, khususnya dalam bidang tenaga hijau, pembangunan mampan serta pendidikan, sekali gus meletakkan Johor sebagai rakan strategik utama Jepun di rantau ini.
“Bangunan ini akan menjadi simbol kerjasama dua hala dan platform pembelajaran bersama. Ia bukan sahaja melibatkan teknologi binaan hijau, malah mencerminkan kesungguhan Johor untuk bergerak seiring dengan amalan terbaik antarabangsa dalam kelestarian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Encik Lee berkata beliau turut mengadakan pertemuan strategik bersama Presiden dan Pengasas Euglena Co Ltd, Encik Mitsuru Izumo, serta pasukan pengurusan syarikat berkenaan.
“Syarikat Jepun itu kini bekerjasama dengan Petronas dan Enilive (Eni) dalam projek biorefinery berskala besar di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Johor.
“Projek berimpak tinggi itu telah mencapai Keputusan Pelaburan Muktamad (FID) dengan nilai pelaburan melebihi RM6 bilion ($1.8 bilion). Pembinaan dijangka bermula pada suku keempat 2025 dan operasi disasarkan pada separuh kedua 2028.
Apabila siap, loji berkapasiti 650,000 tan setahun itu akan menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), minyak sayuran terhidrogenasi (HVO) dan bio-nafta dengan menggunakan sisa seperti minyak masak terpakai, lemak haiwan, serta minyak alga pada jangka sederhana.
“Dengan kepakaran global Euglena, kekuatan Petronas dan Enilive, serta sokongan kerajaan Persekutuan dan negeri, Johor berada di landasan tepat untuk menjadikan Pengerang sebagai hab biofuel serantau.
“Projek ini bukan sahaja mencipta ribuan pekerjaan, malah mempercepat peralihan tenaga bersih negara,” jelas Encik Lee.
Beliau menegaskan momentum pelaburan ini menunjukkan keyakinan pelabur Jepun terhadap Johor sebagai rakan strategik yang stabil, mesra pelabur dan berdaya saing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg