Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor sasar 12j pelancong asing sempena Tahun Melawat Johor

Dec 15, 2025 | 2:08 PM
Datuk Onn Hafiz Ghazi, johor
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Johor menetapkan sasaran menarik 12 juta pelancong asing sempena Tahun Melawat Johor 2026, dengan potensi sumbangan melebihi RM42 bilion ($13 bilion) kepada ekonomi negeri, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai antara destinasi pelancongan utama negara dan rantau ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sasaran berkenaan dizahirkan ketika Majlis Pelancaran Tahun Melawat Johor 2026 dan Festival Budaya Malaysia 2025 yang berjaya menghimpunkan lebih 20,000 penduduk Johor serta pengunjung di Dataran Bandaraya Johor Bahru, meskipun berlangsung dalam keadaan hujan lebat.

“Sambutan luar biasa yang ditunjukkan mencerminkan kecintaan rakyat terhadap warisan dan budaya Johor, selain membuktikan semangat kebersamaan Bangsa Johor dalam menyokong agenda pembangunan pelancongan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Disember.

Menurut beliau, majlis berkenaan turut mencipta sejarah apabila Johor diiktiraf Buku Rekod Malaysia (MBOR) menerusi persembahan zapin yang disertai 4,000 penari secara serentak, satu pencapaian yang mengangkat seni budaya Johor ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Datuk Onn Hafiz berkata pelancaran serentak dua program utama itu mencerminkan komitmen kukuh Kerajaan Negeri Johor bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dalam memperkasa sektor pelancongan, memperluas pasaran antarabangsa serta merancak kemasukan pelancong ke negeri itu.

“Usaha ini turut diperkukuh menerusi penambahan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bagi memudahkan akses pelancong dari luar negara, selaras dengan sasaran meningkatkan daya saing Johor sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Kerajaan Johor turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Grab Malaysia.

“Kerjasama ini merangkumi penyediaan 20,000 kod promosi Grab Ride kepada pelancong serta sokongan kepada lebih 100 restoran tempatan menerusi kempen GrabFood dengan komisen istimewa, demi memastikan manfaat sektor pelancongan dirasai secara langsung oleh rakyat,” ujarnya.

Dalam usaha menyokong pertumbuhan pelancongan, kerajaan negeri turut memperkukuh jaringan pengangkutan dan logistik.

Ia termasuk penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang kini menghubungkan Johor dengan lebih 20 destinasi dalam negara dan antarabangsa seperti Bangkok, Bandar Ho Chi Minh, Guangzhou, Jakarta, Surabaya dan Madinah.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan membantu peniaga kecil dan sederhana meningkatkan keupayaan perniagaan, selain merancakkan ekonomi setempat seiring pertambahan kehadiran pelancong.

Datuk Onn Hafiz menegaskan, menerusi perancangan strategik Tourism Johor, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan produk pelancongan baru, penambahbaikan prasarana serta penganjuran acara berskala besar yang berimpak tinggi.

Beliau berkata Johor memiliki pelbagai tarikan pelancongan bertaraf dunia, termasuk pulau indah seperti Pulau Aur, Pulau Besar dan Pulau Tinggi, selain taman tema keluarga seperti Legoland Malaysia, Desaru Coast Adventure Waterpark dan Austin Heights Water and Adventure Park.

Zoo Johor yang kini berwajah baru terus menjadi tumpuan dengan lebih 1.2 juta pengunjung direkodkan pada 2025, manakala beberapa tarikan terkini termasuk produk ekopelancongan di Kampung Sungai Melayu, Sungai Lebam dan Sungai Johor dijangka dilancarkan secara berperingkat bermula awal 2026.

Datuk Onn Hafiz turut memaklumkan sektor gastronomi negeri akan diberi penekanan khusus, dengan makanan ikonik Johor seperti laksa Johor, mi Bandung, nasi ambeng, asam pedas dan pelbagai sajian tradisional serta moden diketengahkan sebagai tarikan utama pelancong.

“Insya-Allah, segala usaha ini akan memastikan Johor terus muncul sebagai destinasi pelancongan yang mesra rakyat, moden dan bertaraf antarabangsa menjelang 2026,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg