JOHOR BAHRU: Orang ramai di bandar raya Johor Bahru bakal menikmati perkhidmatan bas pandu sendiri secara percuma untuk melawat pelbagai lokasi tarikan dalam kota, menjelang 2026.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, berkata perkhidmatan itu merupakan salah satu daripada tiga elemen bandar pintar yang sedang dirancang Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di bawah peruntukan RM2.78 juta ($877,198) daripada Kementerian Digital.
“Kita kini dalam proses perolehan.
“Insya-Allah, kita dapat memulakan operasi bas ini pada suku pertama tahun depan, tepat pada masanya untuk Tahun Melawat Johor 2026,” katanya kepada wartawan selepas Mesyuarat Penuh MBJB.
Beliau berkata MBJB akan mengadakan perbincangan bersama Tourism Johor dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor bagi menentukan laluan terbaik bagi bas yang dianggarkan bernilai RM800,000 itu.
“Bas ini dijangka beroperasi di sekitar pusat bandar, namun laluan muktamad masih belum diputuskan.
“Kita mahu memastikan perkhidmatan bas ini digunakan sepenuhnya oleh orang ramai dan para pelawat, sekali gus membolehkan mereka mengunjungi lokasi menarik melalui kenderaan tanpa pemandu ini,” katanya sambil menambah bahawa kapasiti bas tersebut adalah sebanyak 20 tempat duduk.
Beliau mengesahkan bahawa kenderaan autonomi itu akan menggunakan sensor, kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian 5G untuk mengemudi laluan, lapor The Star.
MBJB kini dalam proses mendapatkan unit kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih berkuasa solar serta dron untuk kegunaan operasi.
“CCTV ini akan membantu dengan ketara, khususnya dalam operasi menangani pembuangan sampah haram.
“Dron pula, yang dilengkapi teknologi AI, akan membantu pemantauan bandar.
“Ia termasuk mengenal pasti kawasan mudah banjir, kilang haram, sungai tercemar dan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Mohd Haffiz dalam ucapannya pada Mesyuarat Penuh MBJB berkata MBJB membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM613 juta, sekali gus menjadi peruntukan tahunan terbesar dalam sejarah bandar raya itu.
Beliau berkata belanjawan tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan prasarana, penyelesaian isu banjir bandar, pengukuhan ekosistem bandar pintar serta persiapan rapi bagi menyambut Tahun Melawat Johor 2026.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab sebuah bandar raya tidak hanya terletak pada pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi urus tadbir berkesan, kesejahteraan masyarakat dan daya saing Johor Bahru sebagai pintu gerbang utama negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg