Johor mahu merealisasikan matlamat 5,000 pensijilan halal baru menjelang 2030 yang dilaksanakan secara bertahap dan berstrategi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata usaha itu merupakan antara tumpuan utama di bawah Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030.
Menurut Encik Mohd Fared, jumlah semasa pemegang sijil halal di Johor masih rendah iaitu sekitar 1,200, dan usaha pemerkasaan perlu dipertingkatkan – terutama dalam konteks pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang menjadikan halal sebagai salah satu sektor pertumbuhan.
“Halal bukan sekadar kewajipan umat Islam, tetapi kini turut diiktiraf sebagai piawaian kebersihan dan pengurusan makanan yang terbaik serta tersusun.
“Malah, semakin ramai rakan bukan Islam di Johor dan seluruh negara menjadi pemegang sijil halal,” jelasnya.
Sementara itu, sebanyak 138 kantin di Sekolah Agama Kerajaan Johor akan menerima pensijilan halal menjelang Disember 2025.
Langkah itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha kantin dan penyedia makanan tentang kepentingan pensijilan halal, terutama di jabatan dan agensi kerajaan.
“Tahap pertama melibatkan 50 sekolah agama Gred A dan 88 Gred B, menjadikan jumlah keseluruhan 138 kantin untuk 2025.
“Baki 437 sekolah Gred C pula akan dilaksanakan mulai tahun hadapan (2026) secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Julai.
Beliau menambah, usaha itu tidak terhenti di peringkat sekolah, sebaliknya akan diperluas kepada kempen melibatkan pengusaha makanan, usahawan dan syarikat swasta secara menyeluruh bagi menjayakan ekosistem halal Johor yang mampan dan berdaya saing.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Johor dan Majlis Agama Islam Johor sedang merangka kerangka permohonan halal yang lebih mesra rakyat, cepat dan tidak membebankan.
“Imej permohonan halal yang sebelum ini dianggap lambat dan mahal mesti dihapuskan.
“Kita mahu gantikan dengan sistem yang lebih cekap dan meyakinkan, demi membina kepercayaan masyarakat dan pengguna,” katanya.
Encik Mohd Fared turut menyatakan keyakinan bahawa Johor mampu menjadi penanda aras nasional dalam urus tadbir halal, jika pendekatan yang tersusun dan menyeluruh itu terus dikekalkan.
“Pensijilan halal bukan sahaja menjaga syiar agama, malah mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi – sekali gus memperkukuh ekosistem halal Johor dalam jangka masa panjang,” tegasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg