Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor sasar jadi hab digital Asean, pacu bangun prasarana AI mampan

Jul 9, 2025 | 12:43 PM
Johor, Lee Ting Han, hab digital, Asean, JS-SEZ
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han (tengah). - Foto FACEBOOK LEE TING HAN

Johor sedang melakar langkah besar dalam membina masa depan ekonomi digital Asia Tenggara menerusi pelaburan strategik dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), pusat data, dan kerjasama rentas sempadan melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han, berkata Johor kini bukan lagi sekadar kawasan limpahan pelaburan dari Singapura, tetapi telah membina identiti tersendiri sebagai gerbang digital rantau ini.

Menurutnya, Johor merekod pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tertinggi Malaysia pada 2024, iaitu 6.4 peratus, jauh mengatasi purata nasional 5.1 peratus, dengan sektor prasarana digital dan pusat data menjadi antara penyumbang utama.

“Johor tidak hanya menyediakan tanah yang luas dan kos operasi rendah, tetapi juga mempunyai rangkaian gentian optik yang menyeluruh, sambungan terus ke kabel dasar laut antarabangsa dan kebolehcapaian ke Singapura.

“Ini menjadikan Johor tapak ideal untuk pusat data dan operasi AI berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 Julai.

Berucap dalam Forum Johor Interconnect World 2025, beliau berkata sehingga kini, 43 projek pusat data telah diumumkan di Johor sejak tiga tahun lalu, dengan 13 daripadanya telah mula beroperasi.

Mengulas tema forum, Membuka Potensi Kesalinghubungan dalam Dunia Dipacu AI (Unlocking the Potential of Interconnectivity in an AI-Driven World), Encik Lee menegaskan bahawa permintaan terhadap sambungan berkelajuan tinggi dan boleh diskala berada pada tahap tertinggi, terutama dalam dunia pascapandemik yang mengutamakan digitalisasi.

Beliau memberi contoh bagaimana pelajar luar bandar di Mersing boleh mengakses kemudahan pembelajaran berasaskan AI setara dengan pelajar di Singapura, dan perusahaan kecil di Batu Pahat dapat menembusi pasaran antarabangsa menerusi logistik berasaskan awan.

“Ini bukan sekadar membina prasarana pintar, tetapi memastikan akses yang adil dan kemakmuran yang dikongsi bersama,” katanya.

Johor juga sedang menerajui pembangunan pusat data generasi baru yang dilengkapi sistem penyejukan cecair, reka bentuk rak berketumpatan tinggi dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (Cress).

Mengulas peranan JS-SEZ, Encik Lee menyifatkannya sebagai pelantar pelaburan utama yang menggabungkan kekuatan sinergi Johor dan Singapura dalam ekosistem rentas sempadan.

Kerjasama dua hala itu dijangka menjana sekurang-kurangnya 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dan lebih 100 projek berimpak besar dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Antara langkah yang sedang dilaksana termasuk sistem pelepasan imigresen tanpa pasport berasaskan kod QR serta pelaksanaan dasar gaji minimum lebih berdaya saing dengan sasaran RM4,000 ($1,206) untuk lulusan institut pengajian tinggi di kawasan JS-SEZ.

Menurut Encik Lee, Johor komited untuk memastikan lonjakan ekonomi digital tidak menjejas alam sekitar atau kebajikan jangka panjang rakyat.

Antaranya termasuk penerokaan kaedah penyejukan data menggunakan air kitar semula dan pembinaan laluan sambungan serat optik darat dan dasar laut tambahan bagi menjamin ketahanan prasarana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg