Topic followed successfully
Go to BHkuJohor sasar jadi hab teknologi tinggi serantau
Johor sasar jadi hab teknologi tinggi serantau
Komited bangun ekosistem JS-SEZ untuk pacu sektor semikonduktor, AI dan EV dan tumpu lahirkan pakar tempatan
Johor sasar jadi hab teknologi tinggi serantau
JOHOR BAHRU: Johor kini tidak lagi dilihat sekadar destinasi pelaburan biasa, sebaliknya sedang pesat berkembang sebagai pusat kecemerlangan teknologi tinggi di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata perkembangan itu dapat dilihat menerusi pertemuan strategik bersama delegasi industri semikonduktor di Shanghai, China, yang menunjukkan ekosistem industri negeri berada pada tahap berdaya saing.
“Johor kini berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi, khususnya dalam sektor semikonduktor,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 April.
Menurut beliau, melalui kerangka Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kerajaan negeri sedang membangunkan ekosistem yang menyokong teknologi masa hadapan seperti kenderaan elektrik, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui.
“Namun, matlamat kita bukan sekadar menarik pelaburan atau kemasukan syarikat besar semata-mata, tetapi memastikan manfaatnya dirasai secara langsung oleh rakyat Johor,” katanya.
Encik Lee berkata antara tumpuan utama adalah memastikan berlaku pemindahan ilmu secara menyeluruh agar rakyat tempatan tidak hanya menjadi tenaga kerja biasa, malah, mampu menguasai kepakaran dalam bidang teknologi tinggi.
“Kita mahu anak Johor menjadi pakar dalam penyelidikan dan pembangunan, penyepaduan sistem teknologi tinggi serta pengujian dan pemasangan komponen genting semikonduktor,” katanya.
Beliau menegaskan usaha itu penting dalam memastikan generasi muda bersedia menghadapi perubahan industri sejagat yang semakin beralih kepada teknologi canggih.
“Ini adalah masa untuk anak muda kita menguasai kemahiran baharu dan menjadi pemain utama dalam industri sejagat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri komited menyediakan prasarana yang mesra pelabur serta ekosistem mampan bagi memastikan peluang pekerjaan bermutu tinggi terus tersedia.
Menurut Encik Lee, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor juga mencerminkan kekuatan ekosistem negeri yang semakin matang dan berdaya saing.
“Setiap pelaburan yang masuk bukan sekadar angka, tetapi perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bermutu, peningkatan kemahiran serta mobiliti sosial yang lebih baik,” katanya.
Beliau menambah seiring peralihan industri ke arah automasi dan teknologi maju, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan bakat tempatan.
“Usaha ini termasuk memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan kejuruan, selain meningkatkan kerjasama antara sektor awam dengan swasta bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan,” katanya.
Encik Lee menambah, pendekatan kerajaan negeri adalah mempermudah urusan pelabur tanpa mengabaikan kepentingan rakyat.
“Dengan perancangan tersusun dan pelaksanaan berkesan, Johor berada di landasan kukuh untuk berkembang sebagai hab industri yang kian maju dan terangkum,” katanya.
Beliau berharap segala usaha yang dilaksanakan akan terus memperkasa ekonomi negeri dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
“Ini adalah pelaburan untuk masa depan. Kita bina asasnya hari ini supaya generasi akan datang mampu berdiri sebagai pemimpin dalam revolusi industri dunia,” katanya.

