Topic followed successfully
Go to BHkuJohor tarik pelabur sejagat di Shanghai
Johor tarik pelabur sejagat di Shanghai
JS-SEZ jadi pemangkin ekonomi serantau; kerjasama erat bersama bank antarabangsa bukti keyakinan pelabur potensi Johor
Johor tarik pelabur sejagat di Shanghai
JOHOR BAHRU: Rentak ekonomi Johor terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila negeri ini berjaya menarik minat pelabur sejagat menerusi beberapa sesi libat urus strategik di Shanghai, China, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata kerangka Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini menjadi faktor utama yang menarik minat pelabur agar meninjau peluang di negeri itu.
Sesi tersebut bukan sekadar pertemuan biasa, sebaliknya, mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Johor, ujar beliau.
“JS-SEZ meletakkan Johor sebagai destinasi paling berdaya saing di rantau ini walaupun berdepan landskap geopolitik sejagat yang mencabar.
“Momentum ekonomi Johor terus melonjak di persada antarabangsa.
“Sesi libat urus ini mencerminkan keyakinan sejagat yang semakin meningkat terhadap potensi negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 April.
Menurut beliau, sesi tersebut melibatkan lebih 20 pelabur antarabangsa dengan sokongan China Construction Bank (CCB), antara institusi kewangan terbesar dunia.
“Para pelabur mewakili pelbagai sektor strategik dan membawa kesan tinggi termasuk bioteknologi, pengilangan pintar, tenaga serta aeroangkasa,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pelaburan bermutu yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Tumpuan kita bukan sekadar menarik modal, malah, memastikan setiap pelaburan mampu menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepat pemindahan teknologi,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran institusi kewangan sejagat seperti CCB turut mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Tenggara.
“Kehadiran CCB membuktikan Johor semakin diyakini sebagai pintu masuk strategik ke pasaran Asean,” katanya.
Menurut Encik Lee, setiap pelaburan yang masuk perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.
“Kita mahu ekonomi negeri bukan sahaja berkembang di atas kertas (berdasarkan dokumen), malah, memberi peluang yang lebih menyeluruh kepada masyarakat,” katanya.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata lebih 30 syarikat pelabur antarabangsa turut mengambil bahagian dalam satu lagi sesi libat urus bersama United Overseas Bank (UOB) dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Shanghai.
“Melalui rangkaian luas UOB, sesi ini mempertemukan Johor dengan pelabur yang serius untuk berkembang di rantau ini,” katanya.
Menurut beliau, perbincangan tertumpu kepada peluang pelaburan yang mampu membuka lebih banyak pekerjaan bermutu serta meningkatkan pendapatan rakyat.
“Kita memastikan setiap pelaburan diselaraskan agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh Bangsa Johor,” katanya.
Datuk Onn Hafiz berkata sektor yang membawa kesan besar seperti pemindahan teknologi, pembangunan industri bernilai tinggi serta pengukuhan rantaian bekalan menjadi keutamaan dalam perbincangan tersebut.
“Johor terus menegaskan peranannya sebagai platform strategik untuk pelabur menembusi pasaran Asean melalui JS-SEZ,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri memperkenalkan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) sebagai pemudah cara utama bagi mempermudah urusan pelaburan.
“Selain itu, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) berperanan memastikan ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari dengan keperluan pelabur,” katanya.

