Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor sasar naik taraf taman awam seluruh negeri
Johor sasar naik taraf taman awam seluruh negeri
Hutan Bandar Mutiara Rini bakal dibangunkan semula; MB mahu lebih banyak ruang riadah berkualiti untuk rakyat
Johor sasar naik taraf taman awam seluruh negeri
JOHOR BAHRU: Seluruh taman awam di dalam negeri Johor akan dinaik taraf sebagai sebahagian usaha Kerajaan Johor memperluaskan kemudahan riadah yang moden, menyeluruh dan berkualiti untuk rakyat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata usaha itu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan lebih banyak ruang hijau yang dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Insya-Allah, taman-taman seluruh negeri akan dinaik taraf bagi tujuan riadah untuk Bangsa Johor. Itu hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Julai.
Beliau berkata demikian selepas meninjau cadangan pembangunan Laman Deria Pintar (Smart Sensory Park) di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Mutiara Rini.
Beliau berkata cadangan pembangunan bernilai lebih RM13 juta ($4.1 juta) itu akan mentransformasikan kawasan Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini seluas lebih 60 ekar menjadi taman rekreasi bertaraf moden, yang menitikberatkan aspek kelestarian, keselesaan dan kebolehcapaian.
Menurut beliau, projek berkenaan merangkumi sembilan komponen utama, termasuk kawasan permainan kanak-kanak, taman permainan air, kolam cetek, pavilion, ruang santai serta pelbagai kemudahan awam yang dibangunkan berasaskan konsep reka bentuk sejagat.
Katanya, pendekatan itu memastikan kemudahan berkenaan dapat digunakan dengan selesa dan selamat oleh kanak-kanak, warga emas, golongan kurang upaya, serta seisi keluarga.
“Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini bukan sahaja akan menjadi sebuah taman yang indah dan lestari, malah memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Dalam lawatan itu, Datuk Onn Hafiz turut menyertai program melepaskan bebola lumpur dan beberapa ekor ikan ke dalam tasik sebagai sebahagian usaha meningkatkan mutu air, mengurangkan enapan serta bau, di samping memelihara biodiversiti dan keseimbangan ekosistem akuatik.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan fizikal berjalan seiring dengan usaha memelihara alam sekitar.
Selain itu, beliau turut meninjau Gym Muafakat Hutan Bandar MBIP yang kini dilengkapi sistem pendaftaran digital bagi membolehkan pengguna merekod serta memantau perkembangan kecergasan mereka dengan lebih sistematik.
Katanya, kemudahan berkenaan boleh digunakan orang ramai pada kadar bayaran RM5, sekali gus menyediakan pilihan riadah yang lebih mampu dinikmati masyarakat.
“Saya berharap Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini akan terus berkembang sebagai destinasi rekreasi pilihan Bangsa Johor serta menjadi simbol keseimbangan antara pembangunan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkasa pembangunan yang memberi nilai tambah kepada kehidupan rakyat menerusi penyediaan ruang awam yang berkualiti, lestari dan mesra masyarakat,” katanya.