Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor semakin hampir dengan rangkaian ETS penuh

Aug 26, 2025 | 6:38 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah) ketika Majlis Peluncuran Khas ETS3 di Kluang, Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah) ketika Majlis Peluncuran Khas ETS3 di Kluang, Johor. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Johor melakar satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan pengangkutan awam Malaysia apabila perkhidmatan tren elektrik laju (ETS) secara rasmi mula beroperasi di laluan Gemas–Kluang, bermula 30 Ogos 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pelancaran itu menandakan satu langkah besar ke arah melengkapkan rangkaian penuh ETS ke Johor Bahru menjelang November 2025.

“Pelancaran bersejarah ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 23 Ogos, yang turut memandu sendiri tren ETS3 pertama dari KL Sentral ke Stesen Kluang.

“Mulai 30 Ogos, perkhidmatan ETS Platinum akan beroperasi secara tetap dengan masa perjalanan sekitar tiga jam setengah dari KL Sentral ke Kluang, dengan hentian di stesen utama termasuk Segamat, Labis, Bekok dan Paloh,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Ogos.

Beliau berkata rangkaian baru itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan mobiliti untuk rakyat Johor, malah turut membuka peluang ekonomi dan pelancongan.

“Kehadiran ETS mempercepatkan perjalanan dan memberi keselesaan lebih baik kepada penumpang. Ini membolehkan lebih ramai pelabur, pelancong dan penduduk menikmati manfaat jaringan moden ini,” katanya.

Menurut Encik Mohamad Fazli, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menerima 10 set tren baru ETS3 untuk memenuhi permintaan dan memastikan jadual perjalanan lebih efisien. Menurutnya, keseluruhan projek kekal berada pada landasan tepat dan dijangka menghubungkan sepenuhnya hingga ke Johor Bahru pada November 2025.

Sebagai tarikan tambahan, beliau berkata Laman Rel Mahkota, sebuah taman linear sepanjang 2.8 kilometer yang dibangunkan di bawah jajaran landasan baru, kini dibuka kepada orang ramai setiap hari dari 6 pagi hingga 9 malam.

“Kemudahan ini bukan sahaja memperindah kawasan sekitar, malah memberi nilai sosial dan ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.

Encik Mohamad Fazli berkata kerajaan Johor amat berbangga dengan kejayaan projek itu yang kekal mengikut jadual.

“Dengan bermulanya operasi ETS ke Kluang, rakyat Johor kini menikmati akses lebih pantas dan selesa, sementara pembangunan prasarana pengangkutan negeri terus diperkukuh menuju 2026.

“ETS bukan sahaja memberi manfaat dari segi mobiliti, malah merangsang pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan sektor pelancongan di Johor,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan KTMB bagi memastikan sambungan ETS ke Johor Bahru dapat disempurnakan mengikut jadual, sekali gus menjadikan Johor sebuah negeri dengan jaringan pengangkutan moden dan mampan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg