Kerajaan Johor menegaskan komitmennya menangani isu pembuangan sampah haram yang semakin meruncing, selain memperkukuh kawalan terhadap konflik manusia-gajah yang kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata isu kebersihan awam kekal sebagai agenda utama di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, melalui kempen Johor Bersih.
“Saya telah turun padang ke beberapa lokasi panas yang sering berlakunya pembuangan sampah haram.
“Johor bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan prasarana, tetapi juga mahu memastikan negeri ini kekal indah, bersih dan ekosistemnya terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 September.
Beliau berkata dalam tiga tahun kebelakangan ini, pelbagai agensi negeri menganjurkan program gotong-royong bukan sahaja untuk membersihkan kawasan bahkan juga menyampaikan mesej kepentingan menjaga alam sekitar.
Dari segi penguatkuasaan, sebanyak 2,206 kompaun dikeluarkan 16 pihak berkuasa tempatan di Johor sepanjang 2024 dengan nilai keseluruhan RM654,210 ($199,725), manakala sehingga 2025, sebanyak 1,263 kompaun bernilai RM392,870.00 telah dikenakan.
Syarikat SWCorp pula telah melaksanakan 367 tindakan penguatkuasaan dan pembersihan pada 2024, membawa 33 kes ke mahkamah dengan jumlah denda RM607,000.
Pada 2025, agensi itu meningkatkan operasi dengan 512 tindakan, 15 kes dibawa ke mahkamah dan RM275,000 denda berjaya dikutip.
“Sekali lagi kita menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama menjaga kebersihan. Inilah rumah kita, inilah masyarakat kita – semua bertanggungjawab memeliharanya,” tegas Encik Ling.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan Johor turut memberi perhatian serius terhadap konflik manusia-gajah yang semakin ketara.
Menurut data Jabatan Perlindungan Hidupan Liar, jumlah aduan meningkat daripada 103 kes pada 2020 kepada 253 kes pada 2024, dengan Kluang mencatatkan angka tertinggi.
Walaupun Jabatan Perhilitan berada di bawah Kerajaan Persekutuan, Johor menyalurkan dana khas 2025 untuk membantu operasi memindahkan gajah liar ke habitat sesuai.
Pada 2024, 10 ekor gajah berjaya dipindahkan, manakala pada 2025 jumlahnya meningkat kepada 17 ekor dengan operasi besar-besaran dijadualkan Oktober depan.
“Johor dianggarkan hanya mempunyai sekitar 160 ekor gajah liar. Kita mesti melindungi spesies ini demi mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan.
“Sayangilah alam semula jadi, lindungi persekitaran dan pelihara hidupan liar untuk generasi akan datang,” pinta Encik Ling.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg