Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor siapsiaga tinggi hadapi amaran hujan lebat berterusan hingga 29 Nov

Nov 28, 2025 | 2:32 PM
Data terkini menunjukkan beberapa kawasan di Segamat, Tangkak dan Muar berada pada risiko banjir susulan hujan lebat berterusan yang berlaku sejak 27 November dan dijangka berterusan sehingga 29 November 2025.
Data terkini menunjukkan beberapa kawasan di Segamat, Tangkak dan Muar berada pada risiko banjir susulan hujan lebat berterusan yang berlaku sejak 27 November dan dijangka berterusan sehingga 29 November 2025. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Kerajaan Johor kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya berikutan amaran hujan lebat berterusan yang dijangka melanda beberapa daerah di negeri itu hingga 29 November, terutamanya di Segamat, Tangkak dan Muar.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata data terkini daripada Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan kawasan terbabit berisiko dilanda banjir, terutama di kawasan lembangan sungai dan penempatan rendah.

“Sehubungan itu, Kerajaan Johor bersama semua agensi keselamatan dan pengurusan bencana sedang melaksanakan pemantauan rapi di kawasan panas (hotspot), menggerakkan aset keselamatan serta menyediakan keperluan logistik penting bagi memastikan tindakan kecemasan dapat dilaksanakan dengan segera sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 November.

Menurut Datuk Onn Hafiz, pemantauan paras air sungai turut dipertingkat, manakala penyelarasan antara agensi diperkemas bagi memastikan sebarang arahan pemindahan dapat dilaksanakan dengan teratur dan cepat demi keselamatan penduduk di kawasan berisiko.

Beliau turut menyeru rakyat Johor supaya peka terhadap perkembangan cuaca dan sentiasa merujuk makluman rasmi yang dikeluarkan PRABN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta METMalaysia, selain mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah.

“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk terus peka dengan perkembangan cuaca, mengikuti makluman rasmi serta memberi kerjasama penuh kepada agensi keselamatan sekiranya diminta berpindah demi keselamatan bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Encik Taufik Bahar, berkata Taman Negara Endau Rompin akan ditutup sepenuhnya bermula 1 Disember sehingga satu tarikh baru dimaklumkan kelak.

“Bagi aktiviti pendakian Gunung Ledang pula, Jabatan Perhutanan Johor turut menutup semua operasi pendakian bermula 1 Disember atas faktor keselamatan. Bagaimanapun, beberapa kawasan berdekatan seperti chalet, dorm dan dewan masih dibuka kerana hanya melibatkan aliran anak sungai kecil, namun ia juga akan ditutup serta-merta sekiranya berlaku hujan lebat yang serius,” katanya.

Menurut beliau, Taman Negara Tanjung Piai dan Pulau Kukup pula dibuka seperti biasa. Kawasan itu dianggap mempunyai risiko rendah meskipun berdepan hujan lebat atau air pasang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor (JCNTGA), Encik Ajmal Ahmad Shahrom, berkata Johor masih mempunyai banyak tarikan utama yang kekal beroperasi, khususnya lokasi dalaman yang tidak bergantung pada keadaan cuaca.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor (JCNTGA), Encik Ajmal Ahmad Shahrom.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor (JCNTGA), Encik Ajmal Ahmad Shahrom. - Foto ihsan AJMAL AHMAD SHAHROM

“Warga Singapura sebagai contoh, masih boleh pergi ke Legoland Malaysia kerana ia mempunyai zon indoor seperti Sea Life yang tetap menjadi pilihan.

“Selain itu, pusat beli-belah seperti Johor Premium Outlet (JPO), Toppen, Aeon dan Mid Valley Southkey terus menjadi tumpuan kerana banyak tawaran diskaun hujung tahun. Zoo Johor dan beberapa lokasi bandar juga masih boleh dikunjungi,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Johor, Encik Jimmy Leong, pula mengingatkan bahawa cuaca tidak menentu pada November dan Disember memerlukan pelancong lebih berhati-hati, terutama mereka yang bercuti ke kawasan pantai timur atau destinasi yang kerap berdepan banjir.

“Jika pelancong tidak membuat perancangan awal, sebahagian mereka mungkin terpaksa membatalkan rancangan. Namun, ada juga yang tetap meneruskan perjalanan sekiranya destinasi tidak terjejas,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg