Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 15,000 mangsa banjir M’sia dipindah, Kelantan paling teruk terjejas

Nov 24, 2025 | 2:31 PM
Penduduk di Pengkalan Chepa, Kelantan, keluar dari kawasan banjir pada 23 November.
Penduduk di Pengkalan Chepa, Kelantan, keluar dari kawasan banjir pada 23 November. - Foto BERNAMA

Malaysia kembali menghadapi gelombang banjir apabila hampir 15,000 mangsa terjejas di lapan negeri akibat hujan lebat berterusan, menandakan permulaan musim tengkujuh dan Monsun Timur Laut yang agak teruk daripada dijangka.

Negeri pantai timur iaitu Kelantan yang bersempadan dengan Thailand paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa mencecah 10,000 orang setakat 7 malam 24 November; diikuti Perak mencecah 2,000 mangsa; dan Selangor lebih 1,400 mangsa.

Menurut kemas kini laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), negeri lain yang turut terjejas ialah Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.

Sejumlah 98 pusat pemindahan sementara (PPS) yang kebanyakannya di bangunan sekolah dan dewan awam di kawasan tinggi, dibuka di lapan negeri terbabit untuk memberikan perlindungan kepada mangsa banjir terlibat.

Seorang wanita yang hamil tujuh bulan, Nik Nur Nadia Nik Ibrahim, 24 tahun, antara mangsa banjir yang nekad mengharungi banjir sedalam 0.5 meter bersama anak sulung serta kakaknya untuk menyelamatkan diri, selepas kediaman mereka di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan, dinaiki air, sejak petang 23 November.

Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan, Nik Nur Nadia berkata dalam hujan lebat, beliau meredah air sejauh lebih 500 meter bersama anak sulungnya, Mohd Zarreef Aidan Mohd Zaid, tiga tahun, yang ketika itu digendong kakaknya, Nik Syazwana, 29 tahun.

“Ketika meninggalkan kediaman, air semakin tinggi memasuki ruang dapur dan keadaan kian teruk berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan kami sekeluarga bersiap untuk berpindah,” katanya yang kemudian segera menghubungi suami yang sedang bekerja untuk memaklumkan kejadian.

Penduduk di Wang Kelian, Perlis, pula terputus hubungan akibat tanah runtuh yang berlaku di laluan bercerun di View Point menuju ke Kampung Wang Kelian, yang menjadi satu-satunya laluan masuk ke kawasan itu.

Pengurusan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menyediakan bot bagi membantu pelajar keluar dari kolej kediaman di Kota Bharu.
Pengurusan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menyediakan bot bagi membantu pelajar keluar dari kolej kediaman di Kota Bharu. - Foto NSTP

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan tanah runtuh itu berlaku disebabkan taburan hujan luar biasa yang berlaku sejak malam 22 November.

Berikutan kejadian yang turut menyebabkan pokok tumbang, laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan dan tiada laluan alternatif buat masa ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memaklumkan, mobilisasi lebih 100,000 anggota dan aset dari Angkatan Tentera Malaysia; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam; Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya telah digerakkan ke lokasi operasi bagi bantuan serta operasi menyelamat.

“Situasi MTL dipantau secara rapi setiap hari bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin,” katanya di Facebook. 

Sementara itu BHM turut melaporkan, sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand, mula meninggalkan negara itu pada 23 November melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Keadaan itu menyebabkan laluan masuk ke Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, sibuk berbanding kenderaan dari arah bertentangan menuju ke Thailand.

Keluarga pelawak popular Malaysia, Shahrol Shiro, antara yang terkandas dalam banjir di Hatyai dan beliau meluahkan rasa syukur selepas isteri serta anaknya selamat tiba di sempadan Malaysia pada 23 November.

“Alhamdulillah isteri dan anak selamat keluar dari sana dan keluar dari sempadan hari ini. Mereka terpaksa beberapa kali pusing baru dapat jalan keluar dan selamat sampai ke sempadan,” katanya.

Dalam pada itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memindahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkepung dan terhalang akibat banjir untuk ke pusat peperiksaan.

Menterinya, Cik Fadhlina Sidek, berkata proses itu akan dijalankan bersama pihak berkaitan menggunakan jentera aset masing-masing, bagi memastikan pelajar mangsa banjir tidak terjejas peluang untuk menduduki peperiksaan awam itu.

Peperiksaan bertulis SPM 2025 akan bermula pada 25 November dan berakhir pada 23 Disember 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg