Johor, S’pura kukuh kerjasama air dan alam sekitar
Onn Hafiz terima kunjungan hormat Menteri Kemampanan dan Sekitaran S’pura
Johor dan Singapura terus mengukuhkan kerjasama dua hala, tumpuan utama pada keselamatan bekalan air serta pengurusan alam sekitar yang lestari untuk jangka panjang.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau menerima kunjungan hormat Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura, Cik Grace Fu, bersama delegasi di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana.
Pertemuan itu menjadi wadah penting untuk saling bertukar pandangan tentang usaha memantapkan kerjasama Johor-Singapura, khususnya dalam menjamin keselamatan bekalan air dan pengurusan alam sekitar yang lebih mampan.
“Kami turut berbincang mengenai usaha untuk meneroka kerjasama strategik dalam memperkukuh perlindungan mutu air sungai serta pengurusan pencemaran,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Mac.
Datuk Onn Hafiz menambah, perbincangan itu juga menyentuh tentang inovasi teknologi dan pendekatan baharu bagi memperkukuh daya tahan sistem bekalan air serta pengurusan alam sekitar di kedua-dua pihak.
Kerjasama itu disifatkan penting kerana hubungan rapat Johor dan Singapura, serta kebergantungan bersama dalam menjamin kelestarian sumber air dan alam sekitar.
Beliau berharap pertemuan tersebut dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam bidang kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan.
“Semoga pertemuan ini terus memperkukuh hubungan baik Johor-Singapura serta membuka lebih banyak ruang kerjasama demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak,” katanya.

