Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor, S’pura perkukuh kerjasama kesihatan, ekon serantau

Jul 31, 2025 | 2:12 PM
Singapura, Johor, Onn Hafiz Ghazi, Ong Ye Kung, kerjasama, JS-SEZ
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (depan, kanan), bertemu Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung (kiri), bagi membincangkan, antara lain, mengenai pengukuhan sistem kesihatan awam dan menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Lawatan rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ke Singapura telah membuka ruang baru dalam memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang kesihatan awam, perdagangan, pelaburan, dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Dalam satu kenyataan pada 31 Julai, Datuk Onn Hafiz memaklumkan beliau telah bertemu Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung, pada hari kedua lawatannya di Singapura, bagi membincangkan pengukuhan sistem kesihatan awam, menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan dan meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat.

“Kami bersetuju bahawa perkongsian data dan pengalaman amat penting untuk mempercepat pembangunan sistem kesihatan yang lebih menyeluruh dan peka.

“Johor turut mencadangkan latihan profesional serta peningkatan kemahiran kakitangan kesihatan bersama institusi terkemuka Singapura,” katanya.

Beliau berkata cadangan itu termasuk meneroka kerangka percubaan dasar (sandbox) untuk memperkenal pendekatan kesihatan bertahap di kawasan JS-SEZ.

Kedua-dua pihak turut membincangkan isu pengambilan tenaga kerja kesihatan dan sependapat bahawa pergerakan pekerja perlu dilaksana melalui saluran rasmi serta kerangka kerjasama dua hala yang tersusun dan telus.

“Bagi Johor, kesihatan rakyat adalah keutamaan. Kami yakin kerjasama seperti ini akan memperkukuh mutu perkhidmatan, memperluas akses kesihatan dan membina sistem yang lebih adil demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada hari pertama lawatan pada 30 Julai, Datuk Onn Hafiz, yang merupakan penerima ke-82 Zamil Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF), mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

Pertemuan itu menumpukan kerjasama strategik dalam perdagangan, pelaburan dan transformasi ekonomi serantau melalui pelaksanaan JS-SEZ.

Beliau berkongsi perkembangan pelaksanaan Pelan Induk JS-SEZ yang kini dibangunkan dengan sokongan perunding dilantik Kerajaan Malaysia.

“Sehingga kini, melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J), sebanyak 70 syarikat dari Singapura, China, Jerman, Britain, Belanda dan pelabur tempatan telah menunjukkan minat melabur di Johor.

“Lima syarikat dari Singapura menyumbang pelaburan sekitar RM1.34 bilion ($400 juta), dengan tambahan minat bernilai RM78 juta pada fasa kedua,” ujarnya.

Perbincangan turut menyentuh cadangan penubuhan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) di kawasan JS-SEZ, kemudahan pergerakan barangan dan bakat rentas sempadan, serta kemungkinan pembinaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) kedua di sebelah barat Johor.

Isu rakyat seperti kos sara hidup, keperluan memperkukuh prasarana asas dan penyediaan sistem pengangkutan yang lebih cekap serta menyeluruh turut dibincangkan.

“Johor bersedia melaksanakan dasar progresif yang mendukung kemajuan ekonomi, namun sentiasa peka terhadap impak kepada kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama strategik ini mesti terus diperkasa demi memastikan pembangunan yang adil, lestari dan tiada sesiapa tertinggal daripada arus kemajuan,” katanya.

Beliau yakin hubungan erat antara Johor, Malaysia, dengan Singapura akan terus memberi manfaat bersama, memperkukuh daya saing serantau dan mewujudkan masa depan yang lebih makmur.

Sementara itu, Setiausaha Umno Johor merangkap Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata Datuk Onn Hafiz telah mencipta sejarah apabila menjadi Menteri Besar pertama negeri itu menerima anugerah berprestij LKYEF, sekali gus mengangkat nama Johor di pentas serantau.

“Bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor, pencapaian ini bukan sekadar kejayaan peribadi Menteri Besar, malah ia adalah lambang pengiktirafan terhadap hala tuju pentadbiran negeri yang diterima baik di peringkat antarabangsa.

“Ia membuktikan kepimpinan muda kita diiktiraf di luar negara, sekali gus mengharumkan nama Johor,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu menunjukkan Johor bukan sekadar negeri biasa-biasa, malah mampu berdiri setaraf dengan wilayah dan negara lain di rantau ini.

Beliau menegaskan Umno dan BN Johor berdiri teguh menyokong kepimpinan Datuk Onn Hafiz, sambil menekankan bahawa agenda Johor Maju bukan sekadar slogan, malah sedang direalisasikan secara berperingkat dengan sokongan padu daripada akar umbi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg