Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan petugas khas ditubuh pertingkat sistem kesihatan Johor

Pastikan rakyat dapat rawatan cekap dan adil, sambil jaga kebajikan kakitangan barisan hadapan
Jul 16, 2025 | 11:34 AM
Johor, kesihatan, pasukan petugas, sistem kesihatan
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam satu pertemuan di Pejabat Menteri Kesihatan di Putrajaya. Datuk Onn Hafiz berkata pasukan itu akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan langkah memastikan rakyat Johor mendapat rawatan yang cekap, selesa dan adil, antara lain. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi menyelaras usaha penambahbaikan sistem kesihatan awam di Johor, termasuk pengurusan serta pengoperasian hospital dan kemudahan kesihatan yang sedang dibina di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata penubuhan pasukan petugas itu merupakan hasil pertemuan rasmi beliau bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bagi memperkukuh sistem kesihatan di Johor.

“Kerajaan Johor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan pelan tindakan kesihatan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Julai.

Tambahnya, pasukan itu akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan langkah jangka pendek, sederhana dan jangka panjang bagi memastikan rakyat Johor mendapat rawatan yang cekap, selesa dan adil, selain menjaga kebajikan petugas barisan hadapan.

Menurut Datuk Onn Hafiz, antara tumpuan utama ialah memperkukuh pengoperasian tiga hospital terbesar negeri iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai, yang kini menghadapi pelbagai kekangan termasuk kekurangan tenaga kerja dan kemudahan.

“Semua pihak bersetuju bahawa tindakan segera perlu diambil untuk mengisi kekosongan jawatan kritikal, menaik taraf kemudahan, dan memperbaiki infrastruktur hospital yang sedia ada,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Hospital Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Cendana yang dijangka mula beroperasi awal 2026 juga perlu diberikan perhatian, termasuk penambahan petugas dan peralatan perubatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, menyambut baik penubuhan pasukan berkenaan yang menurutnya akan membuka ruang perbincangan teknikal dan terperinci mengenai isu-isu di lapangan.

“Pertemuan ini membuahkan hasil yang baik. KKM dan Kerajaan Johor bersetuju untuk bekerjasama rapat menyelesaikan masalah kesihatan awam, terutamanya di Johor,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Tambahnya, Johor memerlukan sekurang-kurangnya 4,600 petugas kesihatan bagi menangani krisis tenaga kerja sektor kesihatan yang terdiri daripada pelbagai kategori kritikal termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Johor komited memberikan kerjasama penuh untuk menjayakan agenda kesihatan negeri dan memastikan rakyat menerima perkhidmatan perubatan bermutu dan menyeluruh.

Terdahulu, pada 9 Julai, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyeru agar Hospital Pasir Gudang yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat segera dilengkapkan dengan petugas kesihatan.

Ini bagi memastikan perkhidmatan kesihatan rakyat di negeri itu tidak terus terjejas.

Beliau turut menggesa KKM mempercepat pengisian jawatan kosong yang menjejas operasi hospital utama negeri seperti HSI, HSA dan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg