Johor-S’pura perkukuh kerjasama sebagai rakan strategik serantau
Johor-S’pura perkukuh kerjasama sebagai rakan strategik serantau
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi: S’pura merupakan rakan strategik serantau, khususnya dalam suasana landskap geopolitik, ekonomi kian mencabar
Kerajaan Johor akan terus memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama dua hala dengan Singapura berlandaskan kepentingan bersama serta kemakmuran serantau, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, Encik K. Shanmugam, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Bukit Saujana, di Johor Bahru pada 18 Januari.
Menurut Datuk Onn Hafiz, pertemuan itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak untuk memperkukuh hubungan Johor-Singapura sebagai rakan strategik serantau, khususnya dalam suasana landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.
Beliau berkata perbincangan yang berlangsung menumpukan kepada beberapa perkara berkepentingan bersama, termasuk isu kestabilan serantau, aspek keselamatan serta tadbir urus yang berkesan, yang disifatkan sebagai asas penting kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan keyakinan pelabur.
“Hubungan yang stabil, selamat dan ditadbir dengan baik bukan sahaja memperkukuh keyakinan pelabur, malah menjadi prasyarat utama kepada pembangunan ekonomi jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua belah sempadan,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Januari.
Datuk Onn Hafiz turut menyatakan harapan agar persefahaman yang terjalin melalui pertemuan berkenaan dapat terus diperkukuh dan diterjemahkan dalam bentuk kerjasama yang lebih konkrit, sejajar dengan aspirasi Johor untuk muncul sebagai negeri yang maju, stabil dan berdaya saing menjelang 2030.
Beliau menegaskan, Kerajaan Johor akan terus mengamalkan pendekatan diplomasi berhemah dan pragmatik dalam memperkukuh hubungan dengan Singapura, demi memastikan kepentingan rakyat serta kestabilan dan kemakmuran rantau ini terus terpelihara.

