Kebakaran ladang di Johor berdepan pelbagai cabaran, 35% sudah dipadamkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran ladang di Johor berdepan pelbagai cabaran, 35% sudah dipadamkan

Feb 2, 2026 | 5:34 PM

Kebakaran ladang di Johor berdepan pelbagai cabaran, 35% sudah dipadamkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
kebakaran ladang johor
Kekurangan sumber air dan keadaan cuaca panas serta berangin menyukarkan kerja pemadaman kerana api merebak di bawah permukaan tanah dan memerlukan tempoh masa panjang untuk dikawal sepenuhnya. - Foto JBPM JOHOR

KLUANG (Johor): Operasi bomba di ladang kelapa sawit dan nanas di Sungai Linau, Simpang Renggam di Johor setakat 11.30 pagi pada 2 Februari, hanya berjaya memadamkan 35 peratus daripada keseluruhan 8.9 hektar yang terbakar.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Cik Siti Hajar Sanusi, berkata ia disebabkan pihaknya berdepan pelbagai cabaran terutama faktor cuaca dalam usaha memadam kebakaran di ladang milik Peninsular Plantations Sdn Bhd.

“Kebakaran di tanah gambut tersebut yang berlaku sejak 30 Januari, berdepan pelbagai cabaran seperti sumber air dan keadaan cuaca panas serta berangin.

“Ia menyukarkan kerja pemadaman kerana api merebak di bawah permukaan tanah dan memerlukan tempoh masa panjang untuk dikawal sepenuhnya.

“Keadaan tanah gambut yang kering meningkatkan risiko kebakaran merebak ke kawasan berhampiran, sekali gus memerlukan pemantauan rapi dan operasi pemadaman secara berterusan,” katanya dalam kenyataan pada 2 Februari.

Beliau berkata kerja-kerja menggali untuk kaedah ‘fire break’ sepanjang 350 meter sudah disiapkan daripada sasaran 500 meter, lapor MalaysiaGazette.

Usaha tersebut, ujarnya, dijangka siap sepenuhnya pada 2 Februari bagi mengekang pergerakan api, namun risiko merebak masih wujud selagi keadaan kering berterusan.

Seramai 28 anggota bomba termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama 22 pekerja ladang serta satu jentera bomba dan lima lori tangki air terbabit dalam operasi pemadaman.

Selain itu, sembilan unit alat pemadaman api GS Mark II dipasang dan beroperasi 24 jam.

Kaedah pemadaman tompokan dan pemantauan berkala dijalankan di semua sektor operasi sejak 30 Januari.

“Bagi memperkukuh operasi, bantuan tambahan melibatkan dua lori tangki air daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK), satu lori tangki air daripada Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) serta pam air daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan kaedah pembanjiran menyeluruh di sektor kebakaran turut digerakkan.

“Bekalan air turut dibantu oleh Syarikat Air Johor (SAJ) bagi memastikan operasi pemadaman dapat diteruskan tanpa henti sehingga kebakaran dipadam sepenuhnya,” katanya.

Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan kebakaran tidak melibatkan kawasan penempatan penduduk.

Kebakaran di ladang tersebut terletak kira-kira 1 kilometer dari rumah penduduk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg