Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor tangguh pelancaran pelan induk JS-SEZ
Johor tangguh pelancaran pelan induk JS-SEZ
Johor tangguh pelancaran pelan induk JS-SEZ
JOHOR BAHRU: Johor menangguhkan pelancaran pelan induk dan rangka pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dinanti-nantikan bagi memberi ruang kepada penyelarasan lebih menyeluruh melibatkan agensi Persekutuan demi memastikan daya tahan jangka panjang inisiatif tersebut.
Pelan induk dan rangka pelaburan JS-SEZ itu, sebelum ini, dijadual dilancarkan pada 30 Mac, namun ditangguhkan.
Pelan tersebut bertujuan menjadikan zon berkenaan sebagai hab pertumbuhan tinggi dengan sasaran menjana Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Johor sebanyak RM260 bilion ($83 bilion) menjelang 2030 serta mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata penangguhan itu dibuat selepas perbincangan bersama Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dengan kedua-dua pihak bersetuju penambahbaikan lanjut diperlukan sebelum pelan tersebut dimuktamadkan.
Menurutnya, rangka pelaburan dan pelan induk itu kini sedang diteliti Majlis Pelaburan Negara sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan, lapor The Business Times.
“Memandangkan tempoh pelan ini menjangkau antara 10 dengan 20 tahun, kita mahu mendapatkan sokongan meluas daripada semua agensi kerajaan bagi memastikan kestabilan jangka panjang,” katanya ketika sesi dialog, Forum Strategik UOB-Invest Johor JS-SEZ 2026, di Johor Bahru, pada 20 April.
Datuk Onn Hafiz menyifatkan inisiatif tersebut sebagai peluang strategik unik untuk Malaysia, Johor dan Singapura memanfaatkan kekuatan bersama.
“Sepuluh tahun lalu, kerjasama rentas sempadan dan agensi seperti ini sukar dibayangkan.
“Kini kita melihat penyelarasan menyeluruh dari peringkat Persekutuan hingga ke negeri dan wilayah, disokong kerjasama mendalam dengan Singapura.
“Ini peluang yang hanya datang sekali dalam satu generasi dan saya tidak dapat bayangkan ia akan berlaku lagi,” katanya.
JS-SEZ dilihat sebagai tunjang utama usaha Malaysia memperkukuh penyepaduan ekonomi rentas sempadan dengan Singapura, dengan tumpuan terhadap sektor perkilangan maju, prasarana digital dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Bagi menyokong matlamat itu, Datuk Onn Hafiz berkata pelan induk dan rangka pelaburan tersebut turut menekankan kemudahan menjalankan perniagaan, termasuk pengenalan “kotak pasir” kawal selia untuk mempercepat pembangunan sektor baharu seperti penjagaan kesihatan dan teknologi maju.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata pelan tersebut dijangka dimuktamadkan dan dilancarkan pada separuh pertama 2026, tertakluk kepada kelulusan semua agensi kerajaan berkaitan.
“Tarikh akhir itu tidak bersifat mutlak. Keutamaan kami adalah memastikan semua pihak berkepentingan benar-benar sehaluan sebelum pelancarannya,” katanya dalam laporan, The Business Times, di luar forum berkenaan.
Mengulas kesan krisis Timur Tengah terhadap ekonomi negeri, Encik Lee berkata masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan konflik tersebut, namun, tanda awal menunjukkan kos perniagaan semakin meningkat.
Beliau berkata gangguan selama dua bulan telah menyebabkan kenaikan kos, khususnya dalam sektor pembinaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada industri yang bergantung kepada kestabilan kos jangka panjang.
Menurutnya, sektor khusus seperti kimia dan pusat data mungkin lebih terdedah kepada ketidaktentuan sedemikian kerana kebergantungan tinggi terhadap rantaian bekalan dan bekalan tenaga yang stabil.
Walaupun JS-SEZ terus menarik minat pelabur, Encik Lee mengingatkan aliran masuk pelaburan mungkin mengambil masa untuk direalisasikan memandangkan keputusan pemindahan operasi syarikat berbilang negara lazimnya bersifat jangka panjang dan rumit.
