Topik diikuti
Pergi ke BHkuUOB mudahkan pelaburan RM18b ke JS-SEZ sejak 2024
UOB mudahkan pelaburan RM18b ke JS-SEZ sejak 2024
UOB umum 2 komitmen pelaburan baru bernilai lebih RM1b
UOB mudahkan pelaburan RM18b ke JS-SEZ sejak 2024
UOB telah memudahkan aliran pelaburan langsung asing melebihi RM18 bilion ($5.7 bilion) ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sejak 2024, sekali gus mengukuhkan momentum pelaburan rentas sempadan antara Johor dan Singapura.
Perkembangan itu diumumkan sempena Forum Strategik UOB-Invest Johor JS-SEZ 2026 yang diadakan di Hotel Sheraton, Johor Bahru pada 20 April.
Forum itu turut menyaksikan bank berkenaan mengumumkan dua komitmen pelaburan baru bernilai lebih RM1 bilion menerusi ‘Green Lane UOB’.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerjasama erat antara Invest Johor dan UOB membuktikan bagaimana kerjasama awam-swasta mampu membawa hasil nyata kepada negeri.
Menurut beliau, setiap pelaburan yang berjaya dibawa masuk perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik, pengukuhan industri tempatan serta manfaat berkekalan kepada rakyat Johor.
Datuk Onn Hafiz berkata Johor kini tidak lagi membincangkan mengenai potensi semata-mata, sebaliknya sedang menyaksikan perubahan sebenar menerusi pelaburan, hubungan rentas sempadan dan transformasi ekonomi yang semakin ketara.
“Pada 2025, Johor merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion, yang tertinggi pernah dicapai oleh mana-mana negeri di Malaysia.
“Johor juga secara konsisten berada dalam kelompok tiga negeri teratas dari segi aliran masuk pelaburan sejak 2022 dan dengan adanya JS-SEZ, momentum ini semakin kukuh,” katanya ketika berucap pada forum berkenaan.
Datuk Onn Hafiz berkata Singapura kekal sebagai pelabur asing terbesar di Malaysia dengan sumbangan RM58.3 bilion, sekali gus memperkukuh lagi kedalaman kerjasama rentas sempadan antara kededua negara.
Beliau berkata, hasil momentum itu turut menyumbang kepada rekod hasil negeri Johor sebanyak RM2.67 bilion.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini menyasarkan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sekitar tujuh peratus menerusi penumpuan kepada sektor pembuatan maju, ekonomi digital, tenaga hijau dan logistik pintar.
Jelasnya, kejayaan Johor menarik pelaburan bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong dasar yang jelas, kepimpinan kukuh dan hubungan rapat dengan Singapura.
“Jika Singapura boleh bekerjasama dengan Johor, ia memberi keyakinan kepada pelabur bahawa Johor mempunyai kredibiliti.
“Singapura tidak akan sewenang-wenangnya bekerjasama dengan mana-mana pihak, sebaliknya memilih negeri atau negara yang mempunyai aspirasi sama untuk berjaya,” katanya.
Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan negeri menggunakan pendekatan ‘3T-1M’ bagi mempercepat proses pelaburan dan memudahkan urusan pelabur.
Menurut beliau, strategi itu menekankan tindakan luar biasa, kerja berpasukan, turun padang serta pemantauan rapi bagi memastikan segala isu pelabur dapat diselesaikan segera.
Katanya, menerusi pendekatan baru, proses kelulusan projek kini dijalankan secara serentak antara agensi berbanding kaedah lama yang dilakukan secara berperingkat.
Beliau memberi contoh projek pusat data Princeton Digital Group yang berjaya dipercepatkan daripada tempoh 24 bulan kepada hanya 12 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Cik Ng Wei Wei, berkata bank berkenaan turut melancarkan program pendidikan UOB My Digital Space di Malaysia bermula di Johor.
Menurut beliau, program tersebut bertujuan membangunkan bakat muda yang bersedia menghadapi era digital masa depan menerusi pembelajaran berkaitan kemahiran digital, kesedaran kecerdasan buatan dan pemikiran kritis.
Katanya, program itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar di rantau Asean dan Greater China termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, China dan Hong Kong.
