JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah mencetus lonjakan mendadak dalam permintaan hartanah di Johor.
Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Beliau berkata lebih 3,000 unit hartanah yang sebelum ini berstatus lambakan telah berjaya dijual dalam tempoh setahun lalu, sekali gus menandakan keyakinan pelabur terhadap masa depan sektor hartanah di negeri itu.
“Pada suku pertama tahun lalu (2024), terdapat kira-kira 13,000 unit hartanah tidak terjual, kebanyakannya terdiri daripada pangsapuri servis berharga RM500,000 ($152,254) ke atas.
“Namun, menjelang suku pertama 2025, angka tersebut menurun kepada sekitar 10,000 unit saja, menunjukkan peningkatan ketara dalam jualan” katanya dalam satu temu bual, lapor The Star.
Datuk Mohd Jafni berkata minat terhadap hartanah di Johor mula meningkat sebaik saja perbincangan mengenai JS-SEZ mula dikongsi kepada pelabur, walaupun sebelum ia dilancarkan secara rasmi.
“Permintaan tidak hanya bermula selepas zon khas ini diumumkan. Ia bermula sejak Malaysia dan Singapura mula memberi bayangan mengenai inisiatif tersebut.
“Langkah ini telah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Johor dan mendorong mereka membeli hartanah untuk perancangan masa depan,” katanya.
Menurutnya, hartanah berhalaman juga menerima sambutan tinggi, dengan hanya sekitar 3 peratus daripada unit berkenaan masih belum terjual.
“Permintaan terhadap hartanah berhalaman, termasuk yang berharga bawah RM500,000, memang sentiasa tinggi. Tetapi pelaksanaan JS-SEZ telah melonjakkan permintaan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui peningkatan mendadak dalam penjualan hartanah turut membawa cabaran baru kepada kerajaan Johor dan Persekutuan.
“Permintaan yang menggalakkan telah mendorong sesetengah pemaju, terutama di Johor Bahru dan Iskandar Puteri, untuk membangunkan lebih banyak hartanah bertingkat tinggi.
“Ini mencetuskan cabaran baru daripada segi penyediaan kemudahan awam seperti klinik, sekolah dan prasarana lain untuk menampung keperluan penduduk.
“Kami sedang meneliti pendekatan strategik untuk menguruskan isu ini dengan lebih berkesan,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg