Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor teliti garis panduan pangsapuri perkhidmatan
Pembangunan di kawasan JS-SEZ dan Forest City perlu disokong sekolah, klinik serta kemudahan awam yang cukup
ISKANDAR PUTERI: Johor sedang meneliti Garis Panduan Perancangan Pangsapuri Perkhidmatan Negeri bagi memastikan pembangunan kediaman tidak bergerak lebih pantas daripada kemampuan sesebuah kawasan menyediakan kemudahan kepada penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata perancangan pembangunan perlu mengambil kira penyediaan sekolah, klinik kesihatan, kemudahan keselamatan, kawasan rekreasi, tanah perkuburan dan kemudahan awam lain.
Menurutnya, perkara itu semakin penting ketika Johor memasuki tahap pembangunan yang lebih besar susulan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ).
“Pembangunan pesat perlu bergerak seiring dengan penyediaan sekolah, klinik kesihatan, kemudahan keselamatan, kawasan rekreasi, perkuburan serta kemudahan awam lain apabila jumlah penduduk meningkat.
“Kita tidak mahu pembangunan bergerak lebih pantas daripada kemampuan sesuatu kawasan untuk menampung keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 September.
Datuk Mohd Jafni berkata beliau menerima taklimat daripada PlanMalaysia Johor mengenai garis panduan berkenaan bagi memastikan pembangunan negeri dirancang secara tersusun dan seimbang.
Antara kawasan strategik yang diberikan perhatian ialah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Kulai-Sedenak, Desaru-Penawar, Pengerang dan Forest City.
Kawasan tersebut dijangka menerima limpahan pembangunan dan pertambahan penduduk apabila lebih banyak pelaburan serta kegiatan ekonomi dibawa masuk menerusi JS-SEZ dan SFZ.
Datuk Mohd Jafni berkata kepentingan penduduk perlu dilindungi, tetapi syarat serta ketetapan perancangan juga perlu jelas, tekal dan mudah difahami oleh pemaju serta pelabur.
“Dalam mengejar pertumbuhan ekonomi dan pelaburan, keseimbangan perlu menjadi asas.
“Kita mahu rakyat menikmati bandar yang terancang, selesa dan lengkap dengan kemudahan awam.
“Pada masa sama, pemaju serta pelabur perlu mempunyai garis panduan yang jelas supaya mereka dapat merancang pembangunan dengan lebih yakin dan teratur,” katanya.
Menurutnya, setiap syarat pembangunan perlu dilihat secara praktikal supaya tidak membebankan pemaju atau menghakis keyakinan pelabur terhadap Johor.
Bagaimanapun, kelonggaran kepada pihak industri tidak boleh menjejaskan mutu pembangunan dan kesejahteraan penduduk.
“Rakyat perlu dilindungi, pemaju perlu diberikan kepastian dan pelabur perlu melihat Johor sebagai negeri yang mesra pembangunan tetapi tetap tegas dalam soal mutu serta kesejahteraan.
“Dasar yang baik bukan sekadar menjaga kepentingan satu pihak, tetapi mencari titik tengah yang mampan untuk semua,” katanya.
Datuk Mohd Jafni berkata limpahan ekonomi daripada JS-SEZ dan SFZ akhirnya perlu diterjemahkan kepada peningkatan mutu kehidupan masyarakat Johor.
Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan PlanMalaysia Johor, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berlaku seiring dengan pembangunan bandar yang teratur.
“Kita mahu ekonomi berkembang, pelaburan terus masuk dan pemaju mempunyai hala tuju yang jelas, manakala rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.
