Topik diikuti
Pergi ke BHkuPremis di Kulai diarah tutup selepas bendera M’sia, Johor dipasang terbalik
Pengarah syarikat akan dipanggil beri penjelasan, polis turut jalankan siasatan
KULAI: Sebuah premis perindustrian dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ditutup buat sementara waktu, selepas Jalur Gemilang (bendera Malaysia) dan bendera Johor didapati dipasang secara terbalik di premis berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kerajaan negeri memandang serius kejadian itu kerana kedua-dua bendera berkenaan merupakan lambang kedaulatan dan identiti negara serta negeri.
“Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, tetapi lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara.
“Begitu juga Bendera Johor yang membawa identiti, maruah dan kedaulatan negeri serta wajib dihormati oleh setiap pihak yang berada dan menjalankan urusan di bumi Johor,” katanya dalam kenyataan pada 17 Ogos.
Menurut Datuk Mohd Jafni, kejadian itu menjadi lebih serius kerana dua lambang penting berkenaan ditemukan dalam keadaan terbalik di premis yang sama.
Beliau berkata MPKu telah mengambil tindakan menutup buat sementara waktu premis tersebut, sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan dan melengkapkan borang perakuan aku janji.
Borang tersebut merupakan ikrar bertulis rasmi yang mengandungi perjanjian pihak terbabit untuk melakukan atau tidak melakukan perkara tertentu.
Kedudukan kedua-dua bendera berkenaan sudah diperbetulkan serta-merta.
“Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan,” katanya.
Datuk Mohd Jafni berkata Pegawai Daerah Kulai melalui Pejabat Daerah Kulai turut mengambil tindakan susulan dan menyelaraskan perkara itu bersama MPKu serta agensi berkaitan.
Pada masa yang sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat terbabit akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih,” katanya.
Menurut Datuk Mohd Jafni, tindakan pihak berkuasa tempatan mempunyai asas berdasarkan peruntukan yang pernah diguna pakai sebelum ini, termasuk Undang-Undang Kecil (UUK) 49(2) berhubung kuasa menutup premis dan UUK 45(1) berkaitan pengibaran bendera.
Kedua-duanya berada di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang diguna pakai pihak berkuasa tempatan di Johor.
Datuk Mohd Jafni turut memberi peringatan kepada semua pemilik premis, syarikat dan pemain industri supaya memastikan bendera negara dan negeri dipasang dengan betul.
“Pastikan setiap pemasangan bendera dibuat dengan betul, tertib dan penuh rasa tanggungjawab.
“Kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab, sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Kerajaan Johor tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan Bendera Johor.
“Pendirian kita jelas; maruah negara mesti dipelihara, maruah Negeri Johor mesti dijunjung, bendera mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan,” katanya.

