Kerajaan Johor sedang meneliti pelaksanaan teknologi mengubah sisa menjadi tenaga atau ‘Waste-to-Energy’ (WTE) sebagai antara penyelesaian jangka panjang pengurusan sisa pepejal negeri, susulan lawatan teknikal ke sebuah kemudahan WTE bertaraf antarabangsa di Shanghai, China.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata lawatan pada 9 Januari itu memberi gambaran jelas bagaimana sisa bandar dapat diurus secara bersepadu, bersih dan selamat, di samping menjana tenaga hijau untuk kegunaan masyarakat.
“Teknologi WTE yang ditinjau menunjukkan keupayaan tinggi mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan terbuka, selain mengawal pelepasan alam sekitar melalui sistem rawatan gas yang ketat serta operasi tertutup yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Januari.
Menurut Datuk Jafni, berbanding kaedah pelupusan konvensional, teknologi WTE mampu mengurangkan isipadu sisa sehingga lebih 80 peratus, sekali gus menutup kitaran pengurusan sisa dengan penjanaan tenaga.
“Pendekatan ini lebih berkesan dari segi penggunaan tanah, lebih bersih daripada sudut kawalan bau dan pencemaran, serta lebih mampan dalam konteks pembangunan bandar yang semakin padat.
“WTE juga membolehkan sisa diurus secara berterusan tanpa bergantung kepada pembukaan tapak pelupusan baru, sekali gus mengurangkan risiko pencemaran air tanah, pelepasan gas metana dan konflik penggunaan tanah dengan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau menambah, teknologi berkenaan bukan sekadar menyelesaikan isu sisa pepejal, malah berpotensi menjana tenaga elektrik hijau, mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong agenda ekonomi kitaran dan pembangunan rendah karbon negeri.
Datuk Jafni berkata Kerajaan Johor, melalui pendekatan dasar yang berpaksikan rakyat dan berasaskan data, akan meneliti secara menyeluruh dapatan lawatan berkenaan bersama agensi berkaitan sebelum sebarang keputusan dasar atau pelaksanaan dibuat.
“Komitmen kerajaan negeri adalah memastikan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan secara moden, selamat dan mampan, tanpa mengabaikan aspek keselamatan, penerimaan masyarakat serta kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata usaha itu selari dengan aspirasi Johor untuk menjadi negeri yang progresif, berdaya saing dan berdaya tahan, selain menyokong agenda pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat pada masa kini dan akan datang.
Terdahulu, pada 12 Julai 2025, Datuk Jafni dilaporkan berkata Johor akan memulakan langkah awal melalui projek perintis pembangunan loji WTE di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Payong pada 2026.
Ini sejajar keperluan mendesak untuk mencari penyelesaian jangka panjang berikutan peningkatan jumlah sisa pepejal selari dengan pertumbuhan penduduk dan pembangunan pesat negeri.
Ini juga susulan lawatan beliau ke Loji WTE di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan, iaitu loji WTE pertama di Malaysia yang kini beroperasi sepenuhnya.
“Johor mesti berada di hadapan dalam aspek kebersihan, kelestarian dan kecekapan pengurusan sisa. Model loji WTE di Ladang Tanah Merah ini boleh dijadikan rujukan terbaik bagi membangunkan sistem WTE Johor yang lebih mantap dan berimpak tinggi,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg