Sistem kesihatan Johor diperkukuh lagi apabila 20 ambulans baru jenis B selamat tiba dan berjaya diserahkan kepada daerah kesihatan untuk berkhidmat di lokasi masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata penyerahan itu diyakini mampu meningkatkan keberkesanan tindak balas kecemasan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat di serata negeri.
Menurutnya, penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada 46 unit ambulans baru yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ia terdiri daripada sembilan ambulans jenis A dan 37 jenis B.
Daripada jumlah itu, Johor menerima 20 ambulans yang diagihkan kepada hospital serta klinik kesihatan di bandar dan luar bandar, termasuk Hospital Pasir Gudang, Hospital Mersing dan beberapa klinik kesihatan di Jemaluang, Ayer Baloi serta Pekan Nenas.
“Dengan penambahan ambulans ini, rakyat akan mendapat akses rawatan kecemasan dengan lebih cepat dan selamat.
“Yang paling utama, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada 18 September.
Encik Ling turut melahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang telah memperuntukkan bajet tambahan bagi mengukuhkan sistem kesihatan negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri menyalurkan RM3.46 juta ($1.05 juta) untuk pemindahan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak Hospital Sultanah Ismail serta Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat, di samping RM1 juta bagi pembinaan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Gelang Patah.
Hospital Sultan Ismail dan Hospital Pasir Gudang pula menerima peruntukan tambahan RM1.3 juta bagi pembelian peralatan kesihatan, manakala Poliklinik Hospital Sultanah Aminah menerima RM100,000.
Selain itu, sejumlah RM2.02 juta turut diperuntukkan bagi Program Southern Volunteers yang membabitkan 117 sukarelawan kesihatan.
Menurut Encik Ling, penyerahan ambulans baru itu membuktikan komitmen kerajaan Johor bersama KKM dalam memperkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan Johor, sekali gus memastikan rakyat menerima perkhidmatan lebih cekap, cepat dan menyeluruh.
Ambulans jenis A biasanya digunakan untuk mengangkut pesakit dengan keadaan kurang serius manakala ambulans jenis B adalah bagi pesakit yang mengalami gejala lebih serius, serta pertolongan cemas dan pemantauan asas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg