Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor terima RM210 juta bagi pelebaran Plus Machap-Ayer Hitam

Nov 27, 2025 | 4:33 PM
(Dari kanan) Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
(Dari kanan) Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Usaha menaik taraf prasarana jalan raya di Johor terus diperkukuh apabila Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM210 juta ($66 juta) bagi melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bagi laluan Yong Peng Utara-Senai Utara (Tahap 4: Machap-Ayer Hitam) di bawah ‘Rolling Plan’ Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pengumuman itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan rangkaian jalan raya di Johor ditambah baik secara terancang demi manfaat lebih empat juta penduduk negeri itu.

Menurut beliau, projek pelebaran itu akan memberi kesan besar terhadap kelancaran trafik, keselamatan pengguna dan perkembangan ekonomi setempat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, serta seluruh warga Kementerian Kerja Raya (KKR) atas keprihatinan dan komitmen berterusan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 November.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri menjadi asas penting dalam memastikan setiap projek dinaik taraf secara tersusun, pantas dan berimpak tinggi.

Tambahnya, Johor amat menghargai kesediaan KKR untuk terus menyokong agenda pembangunan negeri termasuk aspek penyelenggaraan aset kritikal, peningkatan kemudahan asas serta penambahbaikan sistem perhubungan jalan raya.

“Perjumpaan ini terus membuka ruang kepada kerjasama strategik yang lebih erat, khususnya bagi projek naik taraf dan penyelenggaraan jalan Persekutuan, pembangunan prasarana penting serta keselamatan pengguna di seluruh negeri,” ujar beliau.

Datuk Onn Hafiz menegaskan bahawa Johor akan memastikan setiap komitmen yang dipersetujui diterjemahkan kepada tindakan yang cekap dan berkesan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Datuk Nanta berkata sesi pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dengan pertukaran idea yang konstruktif mengenai keperluan memperkukuh penyelenggaraan jalan raya di Johor.

Menurut beliau, kementeriannya komited meningkatkan mutu dan piawaian jaringan perhubungan di negeri itu.

“Perbincangan turut menyentuh peluang kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor melibatkan projek naik taraf serta penyelenggaraan jalan Persekutuan,” katanya.

Beliau berharap hubungan erat antara kedua-dua pihak terus diperkukuh demi manfaat rakyat, selain memastikan pembangunan prasarana sentiasa seiring dengan pertumbuhan sosioekonomi negeri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg