Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemangku Sultan Johor bimbang trafik sesak apabila RTS beroperasi

Nov 13, 2025 | 1:02 PM
Johor, Pemangku Sultan Johor, RTS, trafik
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (tengah), ketika mengadakan pertemuan bersama pegawai tertinggi Kerajaan Johor. - Foto FACEBOOK HRH CROWN PRINCE OF JOHOR

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, meluahkan kebimbangan serius terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang dijangka memuncak apabila projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, beroperasi sepenuhnya menjelang 2027.

Beliau berkata sehingga kini tiada pelan menyeluruh disediakan untuk menangani peningkatan trafik di sekitar Bukit Chagar, termasuk cadangan pembangunan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat atau alternatif pengangkutan lain bagi memastikan aliran trafik kekal lancar.

“Kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa tiada peruntukan mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan sekiranya penyelesaian bertingkat sepenuhnya dilaksanakan.

“Namun Pulau Pinang mampu memperoleh projek LRT yang jauh lebih mahal berbanding sistem ART,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 November.

Tunku Ismail turut menegaskan beliau memantau secara rapat perkembangan beberapa projek kesihatan utama negeri termasuk Hospital Pasir Gudang yang lewat siap, isu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta kelewatan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2).

Beliau berharap masalah yang berlarutan itu dapat diselesaikan segera dan Johor tidak lagi dilihat seperti “diketepikan” dalam perancangan pembangunan nasional.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut mengarahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Haffiz Ahmad, serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datin Paduka Hazlina Jalil, agar memastikan penyelenggaraan prasarana awam berada pada tahap terbaik.

“Datuk Bandar MBJB dan MBPG perlu memastikan kerja penyelenggaraan jalan, lampu jalan serta semua kemudahan awam berada dalam keadaan baik dan terurus.

“Mereka juga perlu memaklumkan kepada orang ramai mengenai jangka masa penyelesaian isu-isu berkenaan,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, merakamkan penghargaan atas keprihatinan tinggi Pemangku Sultan terhadap isu rakyat.

“Sebagai pintu masuk utama negara dan penyumbang besar ekonomi nasional, Johor berharap negeri ini diberikan pertimbangan sewajarnya dalam perancangan pembangunan strategik negara,” katanya.

Beliau menegaskan Kerajaan Johor komited bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencari penyelesaian terbaik, demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara adil dan menyeluruh oleh seluruh rakyat.

Datuk Onn Hafiz turut meninjau keadaan lampu jalan di Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) serta sekitar Persimpangan Rinting-Seri Alam.

Pemeriksaan mendapati sebahagian lampu menetap telah berfungsi, namun beberapa lokasi kritikal masih gelap atau berfungsi sebahagiannya, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Beliau mengarahkan MBPG, MBJB, JKR dan pihak konsesi mengemukakan laporan lengkap serta mengambil tindakan pembaikan segera, termasuk menambah baik pencahayaan di kawasan gelap dan berisiko tinggi.

Datuk Onn Hafiz turut menegaskan supaya penyelenggaraan berkala dilaksana secara lebih sistematik agar isu lampu rosak tidak berulang.

“Kerajaan Johor akan terus memantau pembaikan ini dan memastikan semua prasarana pencahayaan berada pada tahap terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg