JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor meneroka peluang kerjasama dengan Bank of America bagi memperkukuh pelaburan Amerika Syarikat (AS) di negeri itu, khususnya menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pertemuan bersama institusi kewangan antarabangsa itu membincangkan potensi Johor sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat yang mahu mengembangkan operasi di Asia Tenggara.

Menurutnya, perbincangan turut merangkumi pandangan pelabur mengenai kesediaan infrastruktur, ketersediaan tenaga kerja mahir serta kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia, khususnya Johor.

“Sebagai institusi kewangan antarabangsa yang mempunyai rangkaian yang luas, Bank of America berpotensi memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelabur dengan peluang yang tersedia di Johor.

“Johor turut terbuka untuk meneroka peluang kerjasama melalui sesi taklimat pelaburan dan padanan perniagaan yang lebih bersasar,” katanya dalam kenyataan pada 20 Oktober.

Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan negeri memberi penekanan kepada pelaburan berkualiti yang dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.

Pelaburan itu juga diharap membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Saya turut menekankan komitmen kerajaan negeri untuk menarik pelaburan berkualiti yang bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Ia termasuk kemampuan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan serta membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran,” katanya.

Beliau menambah bahawa kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan JS-SEZ memberikan manfaat menyeluruh kepada ekonomi Johor dan penduduknya.