Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaybank, SMF kerjasama perluas akses ke Zon Ekonomi Khas Johor-S’pura
Maybank aktif sokong niaga teroka peluang JS-SEZ menerusi rangkaian perbankan rantauan, keupayaan rentas sempadan
Maybank dan Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 21 Ogos untuk meluaskan akses ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Perjanjian tersebut, yang dimeterai semasa sesi ‘Dialog bersama Menteri Besar Johor’ anjuran bersama Maybank dan SMF di Maybank Tower, turut bertujuan menyokong usaha membangunkan JS-SEZ sebagai tawaran yang memberi keuntungan bersama bagi Singapura, Malaysia dan rantau Asean yang lebih luas.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyatakan bahawa sejak pengesahan rasmi JS-SEZ, zon tersebut telah menarik rekod pelaburan asing secara langsung (FDI) sebanyak RM126.9 bilion ($40 bilion).
“Perkongsian strategik dan dialog konstruktif antara sektor awam dan swasta seperti ini dengan pihak berkepentingan Maybank dan SMF akan menjadi kritikal dalam menterjemahkan momentum ini kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang, pelaburan dan penciptaan pekerjaan,” tambahnya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 21 Ogos, Maybank memaklumkan bahawa ia telah aktif menyokong perniagaan yang meneroka peluang daripada JS-SEZ menerusi rangkaian perbankan rantauannya dan keupayaan rentas sempadan.
Maybank juga sedang mengendalikan kira-kira RM22 bilion ($6.9 bilion) dalam pembiayaan dan minat pelaburan, termasuk sokongan untuk infrastruktur digital, pembuatan, perusahaan kecil dan sederhana (SME), serta perniagaan yang mengejar peluang di peringkat rantau.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara Maybank Singapura, Encik Alvin Lee, berkata:
“JS-SEZ merupakan pilihan strategik untuk penyebaran atau perluasan perniagaan memandangkan kedudukannya yang dekat, hubungan lama terjalin antara Malaysia dengan Singapura, dan keutamaan yang diberikan oleh pelabur terhadap kestabilan.”
Dalam pada itu, Encik Lee menambah sektor pembuatan di Singapura dijangka akan berkembang pantas seiring dengan perbelanjaan modal (capex) kecerdasan buatan (AI) global dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampu bertahan.
Sementara itu, Datuk Onn Hafiz berkongsi Pelan Induk dan Pelan Tindakan JS-SEZ akan menggariskan langkah-langkah utama untuk mempercepat lagi proses kelulusan pelaburan serta menghapuskan halangan dalam pergerakan manusia dan barangan.
“Pada masa yang sama, usaha akan dipertingkat untuk membangunkan industri baharu bernilai tinggi dan berimpak besar yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk Johor dan Singapura.
“Matlamat jangka panjang adalah untuk menjadikan JS-SEZ sebagai pintu masuk kepada pelaburan ke Asean serta mewujudkan kemakmuran bersama untuk generasi akan datang,” kata Datuk Onn Hafiz.
Presiden SMF, Encik Lennon Tan, berkata zon itu membolehkan syarikat mengguna pakai model ‘twinning’ – mengekalkan operasi ibu pejabat di Singapura, sambil menubuhkan operasi pengeluaran dalam ekosistem Malaysia yang kaya dengan sumber.
“Sebagai Pengurus Program JS-SEZ, SMF telah berinteraksi dengan lebih 700 peserta yang berminat untuk menubuhkan atau mengembangkan operasi mereka, dan minat terhadap peluang ini terus meningkat,” ujar Encik Tan.
