JOHOR BAHRU: Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pertumbuhan baharu serantau apabila aliran pelaburan langsung asing ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sejak 2024 kini mula diterjemahkan kepada pembangunan sebenar dan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata pelaburan yang masuk ke JS-SEZ bukan lagi sekadar angka, sebaliknya membuktikan Johor kini berada di landasan kukuh dengan pelaksanaan yang jelas dan membawa kesan besar.

Menurut beliau, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah merasmikan Forum Strategik JS-SEZ 2026, yang dianjurkan oleh United Overseas Bank (UOB), sebagai satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai pusat pertumbuhan baharu di rantau ini.

Jelasnya, melalui inisiatif Jalur Hijau (Green Lane) yang digerakkan oleh UOB bersama badan kerajaan, Invest Johor, proses pelaburan kini menjadi lebih mudah dan pantas, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor.

“Hubungan strategik bersama Singapura terus menjadi pemangkin utama kejayaan JS-SEZ.

“Kerjasama rentas sempadan ini bukan sahaja memperkukuh rantaian bekalan serantau, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperkasa industri tempatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 April.

Encik Lee berkata dalam keadaan ekonomi sejagat yang mencabar, Johor kekal komited dengan pendekatan proaktif menerusi dasar yang jelas, kerjasama erat antara sektor awam dengan swasta serta penglibatan berterusan bersama pelabur.

Menurut beliau, pelaburan yang masuk kini mula diterjemahkan kepada pembangunan sebenar merangkumi sektor perkilangan maju, ekonomi digital, tenaga hijau dan logistik pintar.

Jelasnya, usaha itu akan terus diperkasa bagi memastikan setiap pelaburan membawa nilai jangka panjang kepada negeri dan rakyat.

“Johor terus melangkah ke hadapan dan membina masa depan, memacu pertumbuhan dan memimpin perubahan,” katanya.

Terdahulu, UOB telah memudahkan aliran pelaburan langsung asing melebihi RM18 bilion ($5.7 bilion) ke JS-SEZ sejak 2024, sekali gus mengukuhkan momentum pelaburan rentas sempadan antara Johor dengan Singapura.

Perkembangan itu diumumkan sempena Forum Strategik UOB-Invest Johor JS-SEZ 2026 di Hotel Sheraton, Johor Bahru, pada 20 April.

Forum itu turut menyaksikan bank berkenaan mengumumkan dua komitmen pelaburan baharu bernilai lebih RM1 bilion menerusi Jalur Hijau UOB.

Datuk Onn Hafiz berkata kerjasama erat antara Invest Johor dengan UOB membuktikan bagaimana kerjasama awam-swasta mampu membawa hasil nyata kepada negeri.

Menurutnya, setiap pelaburan yang berjaya dibawa masuk perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik, pengukuhan industri tempatan serta manfaat berkekalan kepada rakyat Johor.